KDCA Nafi Dakwaan Rampas Tanah, Tegaskan Status Rizab Veterinar di Minintod

KDCA Nafi Dakwaan Rampas Tanah, Tegaskan Status Rizab Veterinar di Minintod

0
SHARE

PENAMPANG: Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) menafikan dakwaan kononnya berlaku penindasan atau rampasan tanah di Kampung Minintod dan kawasan sekitarnya, termasuk Kampung Bantayan serta Sukang Mabpai.

Setiausaha Agung KDCA, Datuk Suman Yasambun menegaskan, tanah seluas kira-kira 30 ekar yang dipersoalkan masih berstatus Rizab Veterinar Sabah dan bukannya rizab perkampungan orang asal seperti yang didakwa.

Status tanah ini masih Rizab Veterinar dan bukan Rizab Kampung. Proses permohonan telah melalui saluran rasmi sejak 1988 dan kini hanya menunggu maklum balas jabatan berkaitan.

“Tidak perlu demonstrasi, datang berjumpa kami dan kami akan tunjukkan dokumen rasmi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kenyataan itu susulan dakwaan tular di media sosial oleh penduduk Kampung Bantayan yang mempersoalkan penandaan kawasan berkenaan sebagai tanah KDCA serta membantah sebarang pengambilan tanpa rundingan telus.

Menurut Suman, rekod resolusi menunjukkan pada 1988 KDCA dibenarkan menduduki dan menggunakan sebahagian kawasan tersebut tertakluk kepada penyukatan rasmi, dengan sokongan ketua-ketua kampung ketika itu.

Pada 1994 pula, mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Koisaan meluluskan penerimaan tawaran pemberian milik 30 ekar berkenaan kepada KDCA.

Beliau berkata, permohonan rasmi telah dikemukakan kepada Kerajaan Negeri termasuk mendapat pertimbangan Ketua Menteri, namun masih tertakluk kepada ulasan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan proses jabatan tanah.

“Semua keputusan dibuat melalui mesyuarat rasmi, disokong pemimpin masyarakat dan diproses mengikut saluran sah Kerajaan Negeri. Dakwaan bahawa KDCA merampas atau menindas masyarakat adalah tidak tepat dan bercanggah dengan fakta dokumentasi rasmi,” tegasnya.

KDCA turut menyeru semua pihak agar tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan serta mengutamakan perbincangan rasmi bagi mengelakkan kekeliruan dan ketegangan dalam kalangan masyarakat.

Terdahulu, seorang penduduk Joevellysia Joseph melalui perkongsiannya di media sosial mendakwa bahawa perkara itu mengejutkan semua penduduk kampung yang sudah menetap di kawasan itu sejak zaman nenek moyang mereka lagi.

Menurutnya, dia selalu nampak kisah tular mengenai tanah kampung yang alami masalah serupa.

“Ini kali terkena pada diri sendiri, di kampung sendiri. Bertahun-tahun tinggal di kampung ini, di Kampung Bantagan Inanam berhiran pula dengan Kampung Minintod @ Melintud dan juga Kampung Sukang Mabpai,” katanya.