LAHAD DATU: Empat individu termasuk seorang penjawat awam ditahan dalam dua serbuan berasingan menerusi Op Tapis yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND), IPD Lahad Datu, di sekitar daerah ini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Dzulbaharin Ismail berkata, dalam serbuan pertama kira-kira jam 12.15 tengah hari di kawasan belakang bangunan Econsave, Jalan Reno Fajar, pihak polis menahan seorang lelaki warga asing berumur 22 tahun dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan ke atas beg silang yang dipakai suspek menemukan satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 0.14 gram serta satu gulung kertas timah.
“Suspek didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri semasa ditahan. Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Serbuan kedua pula dilakukan kira-kira jam 4.30 petang di kawasan parkir Jalan Seroja. Polis menahan sebuah kenderaan Proton Saga berwarna kelabu yang berada dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu membawa kepada penemuan satu bungkusan plastik lutsinar mengandungi lima paket plastik lutsinar berisi dadah disyaki syabu dengan jumlah berat keseluruhan 0.58 gram, empat gulung kertas timah serta satu penyedut minuman yang telah diubah suai.
“Tiga individu ditahan bagi membantu siasatan, masing-masing seorang lelaki berumur 29 tahun yang merupakan penjawat awam, seorang lelaki berumur 24 tahun dan seorang wanita berumur 27 tahun,” katanya.
Ujian saringan awal air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif Amphetamine dan Methamphetamine.
Semakan rekod lampau pula mendapati salah seorang daripada mereka mempunyai beberapa rekod kesalahan berkaitan dadah, manakala seorang lagi mempunyai satu rekod kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jumlah keseluruhan rampasan bagi kedua-dua kes adalah sebanyak 0.72 gram syabu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.






