PUTATAN: Balai Cerap Al-Biruni di Tanjung Dumpil, di sini, bukan sahaja berfungsi sebagai lokasi rasmi cerapan hilal, malah berperanan penting dalam bidang pendidikan dan penyelidikan falak di Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, balai cerap itu mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai pusat pendidikan falak dan astronomi Islam yang lebih komprehensif serta berdaya saing.
“Balai cerap ini juga boleh dibangunkan sebagai pusat penyelidikan berteknologi tinggi dan destinasi pelancongan ilmu (astro-tourism) yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya pada Majlis Pelancaran Rukyah Hilal Rasmi (Ramadan, Syawal dan Zulhijjah) Peringkat Negeri Sabah Tahun 1447H/2026M, pada Selasa.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri merangkap Exco Agama, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Hajiji berkata, bagi merealisasikan hasrat tersebut, aspek infrastruktur perlu diperkasakan termasuk penambahbaikan fasiliti cerapan, ruang pameran interaktif, dewan pembelajaran, kemudahan pengunjung serta akses yang lebih mesra pelancong.
“Kerajaan negeri sedia membantu agar balai cerap ini mampu muncul sebagai antara ikon pelancongan ilmu di Sabah,” katanya.
Beliau yakin dengan perancangan strategik serta kerjasama pelbagai pihak, Balai Cerap Al-Biruni bukan sahaja menjadi kebanggaan umat Islam, malah seluruh rakyat Sabah, selain membuka ruang luas kepada generasi muda untuk menceburi bidang falak dan astronomi sebagai kerjaya yang menyumbang kepada pembangunan ummah dan negara.






