APMM, JaPen Sabah Jalin Kerjasama Strategik

APMM, JaPen Sabah Jalin Kerjasama Strategik

0
SHARE
Apmm
Suasana ketika kunjungan hormat berlangsung ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan (W.P) Labuan dan Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah jalinkan kerjasama strategik dalam hebahan maklumat kepada masyarakat.

Timbalan Pengarah Pengurusan Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan, Siti Norhaini Osli berkata, usaha tersebut antaranya melibatkan penganjuran program bersama JaPen agar APMM lebih dikenali fungsinya kepada orang ramai.

“Kami memerlukan bantuan dan kerjasama dari JaPen Sabah agar satu platform diperolehi untuk membantu dalam menyebar luas fungsi maritim kepada masyarakat setempat,” jelas beliau selepas kunjungan hormat kepada Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor di Kompleks Kementerian Komunikasi Digital, pada Selasa.

Dalam kunjungan tersebut, Siti Norhaini turut memaklumkan selain penguatkuasaan undang-undang perairan negara, APMM juga berperanan perkhidmatan koordinasi operasi CARILAMAT (mencari dan menyelamat) bagi perairan di sabah dan Labuan.

“Terdapat enam zon maritim yang terdapat di Sabah iaitu di Tawau, Sandakan, Lahad Datu, Semporna, Kudat dan Labuan, APMM bertanggunjawab kawalselia keselamatan di enam zon utama tersebut.

“Dalam mengawal selia undang-undang perairan keselamatan di laut APMM banyak menangani isu-isu keselamatan seperti rompakan, penyeludupan, pendatang haram, bom ikan, penyeludupan hasil laut, bagang haram dan paling merisaukan adalah pencerobohan nelayan asing yang melibatkan kedaulatan negara,” ujarnya.

Hadir sama, Pegawai Penyiasat Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan, Leftenen Dya Maritim Aimi Najihah Abdullah, Ketua Penolong Pengarah (KPP) Bahagian Perhubungan Awam, Zamri Abdul Ghani, KPP Bahagian Khidmat Pengurusan dan Kewangan, Nur Diyana Ujit, Penolong Pengarah(PP) Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat (PKPM), Edi Rizam Kassim dan PP Bahagian Penerbitan Dasar Negara(PDN), Asmidar Zainol. — JABATAN PENERANGAN SABAH