Arts4Autism – Platform Serlahkan Bakat Seni

Arts4Autism – Platform Serlahkan Bakat Seni

0
SHARE
Autism
Antara pengunjung yang hadir ke Pameran Arts4Autism yang berlangsung pada 22 hingga 29 Julai lepas di Balai Seni Lukis ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Program Arts4Autism merupakan program anjuran Persatuan Caring and Helping Individuals Learn and Develop (C.H.I.L.D) Sabah dengan kerjasama Balai Seni Lukis, Persatuan Autism Sabah dan Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah.

Pameran yang berlangsung di Balai Seni Lukis itu mempamerkan karya seni dan bakat 33 golongan autistik berusia di antara lima hingga 16 tahun.

Julung kali diadakan di Sabah, pameran itu berjaya menarik seramai 1,168 pengunjung sepanjang lapan hari diadakan.

Platform Pamer Karya Seni

Presiden Persatuan C.H.I.L.D Sabah, Dr. Ian Baxter berkata, objektif utama Program Arts4Autism diadakan antaranya sebagai platform untuk mempamerkan karya seni yang dihasilkan oleh golongan autism.

“Pengkarya daripada golongan autism berpeluang untuk mempamerkan karya serta bakat mereka kepada orang awam selain bertujuan untuk memberikan kefahaman kepada orang awam mengenai hubungan antara autism dan seni.

“Dalam program ini juga, golongan autism dapat mempromosi dan menjual hasil tangan mereka untuk mendapatkan pulangan wang,” ujarnya ketika berucap pada program tersebut.

Beliau yang merupakan mantan Pensyarah di Universiti Malaysia Sabah turut berkongsi objektif penubuhan Persatuan C.H.I.L.D yang komited dalam usaha membantu golongan kurang upaya menerusi pelbagai aktiviti yang diadakan sejak ditubuhkan pada Oktober 1995.

Samantha’s Stories 

Berpeluang melancarkan buku Samantha’s Stories Edisi Kedua, Samantha Tang menjelaskan terdapat empat cerita dalam buku tersebut.

“Gembira,” ringkas respon Samantha ketika ditanya perasaannya berjaya menghasilkan buku yang kedua.

Autism
Samantha (tengah) bersama Alan (kiri) ketika Pelancaran Buku Samantha’s Stories Edisi Kedua ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

“Buku yang pertama ada sedikit kesusahan dan ilustrasinya pun belum seberapa, tapi dalam buku kedua ini saya rasa prosesnya lebih baik dan berjalan lancar. 

“Saya menghasilkan buku ini kerana saya suka menulis, saya boleh melukis, dan saya juga mahu mengajar kanak-kanak nilai moral,” ujar Samantha dengan bersemangat dan kini dalam perancangan untuk menerbitkan Samantha’s Stories Edisi Ketiga.

Imaginasi kepada Ilustrasi

Bapa Samantha, Alan Tan memberitahu Samantha memiliki banyak imaginasi dan sangat suka menceritakan imaginasi untuk mendapatkan perhatian Alan.

“Semasa kecil, Samantha mempunyai sangat banyak imaginasi dan dia sangat suka bercerita. Suatu hari, saya katakan pada dia saya akan dengan cerita dia sekiranya dia jadikan cerita itu satu tulisan dan lukisan.

“Bermula dari sana, dia mula membuat pelbagai ilustrasi mengenai imaginasi dia dan dia berikan kepada saya untuk dibaca.

“Semasa pandemik Covid-19 melanda pada tahun 2020, oleh kerana PKP mengehadkan pergerakan dan aktiviti, Samantha mula melukis dan dan akhirnya berjaya menghasilkan buku pertamanya yang diterbitkan pada tahun 2021,” tambah Alan.

Sebagai seorang bapa, Alan berusaha untuk memberikan yang terbaik untuk Samantha termasuk persediaan dari segi pendidikan. Walau bagaimanapun, Alan menyerahkan sepenuhnya kepada Samantha dalam menentukan masa depannya sendiri.

Autism Bukan Penghalang

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Ahmadshah, Muhammad Iman Azhar, 13, membuktikan penghidap autisme sepertinya bukan halangan untuk mahir menghasilkan seni tulisan khat yang indah.

Menurut ibunya, Noordianah  Alwi, 49, untuk mencapai tahap keupayaan mampu tulisan kaligrafi ini bukan mudah sebenarnya, khususnya bagi orang-orang ada kelainan upaya seperti autistik.

“Iman mempunyai minatnya tersendiri walaupun bermula dengan menconteng dinding rumah tetapi kita seharusnya belajar memahami apa sebenarnya mereka mahukan.

“Sehingga satu peringkat itu dapat dilihat setiap contengan di dinding rumah itu ada kemahiran seni khat,” kongsinya.

Bermula dari situ, Noordianah menyedari bahawa anaknya mempunyai kecenderungan dalam kemahiran tulisan khat dan hasil karya tulisan khat anaknya dapat dijual ketika bermula umur 10 tahun lagi.

“Selain mahir dalam tulisan khat, Iman juga mempunyai channel sendiri, mahir kaligrafi, melukis masjid, juruhebah dan pembaca berita,” tambahnya.

Autism
Muhammad Iman (kiri) bersama ibunya, Noordianah ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

Beliau berharap masyarakat menerima kehadiran anak autisme kerana mereka juga manusia biasa cuma ada sedikit kelainan dari segi pandangan mengolah sesuatu.

Bukan Sekadar Muzik

Jurutera, Lanree Asing menyedari bakat anaknya, Morgan bermain alat muzik ketika Morgan berusia sebelas tahun.

“Saya ada piano di rumah, itu pun jarang-jarang main. Saya perasan, Morgan sangat tertarik dengan keyboard itu dan melihat minatnya, saya tergerak untuk menghantar Morgan mengikut kelas muzik.

“Sebelum pandemik, Morgan dijemput untuk membuat persembahan dalam Borneo Performing Arts setiap tahun. Saya harap selepas ini Morgan boleh membuat persembahan semula.

“Saya tidak tahu macam mana cara mereka berfikir, tapi yang saya lihat Morgan sangat cepat belajar muzik dan apabila dia mula memainkan alat muzik, dia bukan sekadar bermain alat muzik itu tetapi dia menjiwainya,” ujar beliau yang berasal dari Kuala Penyu.

Lanree berpendapat Program Arts4Autism merupakan satu platform yang baik untuk mempertunjukkan dan mengetengahkan bakat golongan autistik.

Satu Panggilan

Pengerusi Penganjur program, Jacqueline Linggam berkongsi bagaimana beliau tergerak untuk menganjurkan Program Arts4autism.

“Umpama satu panggilan, saya tergerak untuk menjayakan pameran ini selepas terlibat dengan pelbagai program bersama golongan autistik selama lebih 28 tahun.

“Saya perasan ramai di antara mereka mempunyai bakat dalam bidang seni tetapi tidak mempunyai peluang dan platform untuk mempertontonkan bakat mereka kepada orang ramai.

Autism
Antara hasil seni yang dipamerkan sempena program tersebut ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

“Golongan ini memerlukan platform untuk mengekspresikan perasaan, kebolehan dan bakat mereka dan pameran atau program seperti ini amat penting kerana acara ini acara mereka, ruang ini ruang mereka.

“Saya bersyukur kerana program hari ini mendapat sambutan yang menggalakkan meskipun semua persediaan dibuat pada saat-saat akhir dengan kewangan yang amat terhad,” ujarnya.

Jacqueline berharap orang ramai akan mula memandang golongan ini dan akan diberikan ruang untuk terus bersama-sama dan berdiri sama rata dalam masyarakat.

Sekolah Khas

Tidak meminggirkan golongan autistik, kerajaan negeri kini dalam usaha untuk membina satu sekolah khas untuk kanak-kanak autistik menerima pendidikan yang bersesuaian.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, lebih 14,000 pelajar autistik direkodkan di negeri ini menjadikan keperluan untuk adanya sekolah khas ini semakin mendesak.

“Pada 22 Januari yang lepas, saya telah mendesak pihak kerajaan persekutuan untuk menubuhkan sekolah khas ini memandangkan keperluannya amat signifikan.

“Saya berharap agar kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan dan bekerjasama dalam penubuhan sekolah ini bagi kepentingan semua golongan yang memerlukan,” ujarnya dalam ucapan perasmian sempena program Arts4Autism yang dibacakan Pegawai Khasnya, Dr. Jeremiah Daniel. — JABATAN PENERANGAN SABAH