Pekerja Sabah Electricity Hilang Dibawa Arus Ditemui Mati Lemas

Pekerja Sabah Electricity Hilang Dibawa Arus Ditemui Mati Lemas

0
SHARE

KENINGAU: Seorang pekerja Sabah Electricity, Masedeh Rosmin, 35, yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika cuba menyeberangi jambatan di Kampung Nuntunan Apin-Apin pada malam Selasa lalu, ditemui mati lemas pada jam 6.18 petang Khamis.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah berkata mayat mangsa ditemui oleh Team Galen Star di Sungai Kampung Liau Laut selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari ketiga.

“Operasi yang bermula seawal 9 pagi itu melibatkan radius pencarian sejauh 40 kilometer di Sungai Pagalan, dengan tumpuan di Kampung Linsudan selepas kasut dipercayai milik mangsa ditemui di kawasan tersebut.

“Lokasi penemuan mayat adalah kira-kira 21 kilometer dari tempat mangsa dilaporkan hilang.

“Mangsa dibawa keluar pasukan bomba sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” kata seorang jurucakap operasi.

Dalam pada itu, Sabah Electricity dalam kenyataan mengesahkan penemuan mayat dan melahirkan rasa dukacita atas kehilangan anggota kerja tersebut.

“Sabah Electricity amat berdukacita dengan kehilangan ini dan merakamkan ucapan takziah serta simpati kepada keluarga yang ditinggalkan,” kata kenyataan itu.

Syarikat itu turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam misi SAR, termasuk Team Galen Star, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta kakitangan Sabah Electricity sendiri.