SESB Tidak Laksanakan Pemotongan Bekalan Elektrik Sehingga Mac 2021

SESB Tidak Laksanakan Pemotongan Bekalan Elektrik Sehingga Mac 2021

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) tidak akan melaksanakan pemotongan bekalan elektrik kepada pengguna kategori kediaman sehingga Mac 2021.

Bagaimanapun kelonggaran ini hanya diberikan kepada pengguna kategori kediaman yang mempunyai tunggakan bil elektrik kurang daripada enam bulan.

Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid yang dipetik Utusan Borneo berkata demikian ketika mengulas kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Dato’ Dr. Shamsul Anuar Haji Nasarah pada Isnin.

Dalam kenyataan akhbar tersebut, Dr. Shamsul Anuar berkata mengambil kira keperluan untuk meneruskan usaha membantu rakyat dalam suasana ekonomi yang mencabar berikutan impak berpanjangan pandemik COVID-19 ini maka kerajaan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan SESB telah bersetuju supaya tiada pemotongan bekalan elektrik dilaksanakan ke atas premis pengguna domestik yang mempunyai tunggakan kurang daripada 6 bulan sepanjang tempoh 1 Januari hingga 31 Mac 2021.

Ir. Abdul Nasser berkata mereka akan diberikan kemudahan untuk membuat pembayaran secara ansuran bermula pada Januari 2021.

“Tawaran ini kita berikan hanya kepada pengguna kategori kediaman yang layak dan mereka perlu hadir ke pejabat SESB untuk bertemu dengan pegawai SESB dan berbincang kaedah terbaik untuk mereka jelaskan tunggakan bil elektrik mereka,” katanya.

Manakala itu, pengguna yang mempunyai tunggakan bil elektrik melebihi enam bulan akan diberikan notis pemakluman pemotongan bekalan.

Notis pemotongan bekalan ke atas pengguna kategori kediaman yang mempunyai bil tertunggak melebihi enam bulan akan dikeluarkan oleh SESB dalam masa terdekat ini di mana pengguna akan diberikan tempoh selama tujuh  hari bekerja untuk memastikan tunggakan bayaran bil elektrik mereka dapat dijelaskan terlebih dahulu.

“Mereka yang menerima notis makluman pemotongan bekalan tetapi tidak mampu untuk menjelaskan tunggakan tersebut, adalah dikehendaki untuk membuat pembayaran segera ke atas nilai tunggakan yang melebihi enam bulan tersebut terlebih dahulu…

“Sebagai contoh, pengguna dengan bil tertunggak selama sembilan bulan perlu menjelaskan tunggakan tiga bulan terlebih dahulu dan berbincang dengan pegawai SESB untuk kaedah pembayaran baki tunggakan enam lagi bagi mengelakkan bekalan dipotong,” jelas Ir. Abdul Nasser.

Justeru itu, beliau menggesa pengguna untuk mengambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan tunggakan bil elektrik dijelaskan segera bagi mengelakkan pemotongan bekalan ke premis mereka.

“SESB faham sememangnya ada pengguna yang terkesan dengan PKPB yang sedang ndikuatkuasakan sekarang ini, justeru itu, SESB akan memberikan ruang kepada mereka yang mempunyai tunggakan bil elektrik berbincang dengan pihak SESB bagi mencari jalan penyelesaian yang baik,” katanya.