TELUPID, SABAH – Kerja-kerja awal bagi tiga pakej Projek Fasa 1B Lebuhraya Pan Borneo Sabah sedang dijalankan termasuk kerja pembersihan tapak serta penyerahan notis kepada pemilik premis atau tanah yang terlibat kata Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir. Shahelmey Yahya.
Katanya, tiga pakej yang terlibat ialah pakej WP35, WP34 dan WP33 yang melibatkan pembinaan jalan sepanjang 70.2 kilometer di kawasan pantai timur.
“Kita dapat lihat perkembangan kerja-kerja yang sedang dijalankan dalam tiga pakej pembinaan ini termasuk penyerahan notis kepada pemilik premis atau tanah yang terlibat, dan ini melibatkan lebih 150 notis.
“Apabila menerima notis tersebut, jangan panik dan boleh berhubung dengan Jabatan Tanah dan Ukur serta Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mendapatkan penjelasan.
“Saya yakin kita dapat melaksanakan projek ini mengikut jadual, dan perkara yang penting ialah kerjasama semua pihak termasuk JKR, perunding, kontraktor pelaksana dan jabatan-jabatan berkaitan termasuk Jabatan Tanah dan Ukur,” katanya kepada pemberita selepas meninjau projek Lebuhraya Pan Borneo di sini kelmarin.
Pakej WP33 melibatkan laluan dari Kampung Lumou Baru ke Kampung Toupos (19.5 kilometer), WP34 dari Kampung Toupos ke Kampung Nabutan (24.2 kilometer), manakala WP35 dari Kampung Nabutan ke Ranau (26.5 kilometer).
Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah turut mengingatkan JKR dan kontraktor agar meneliti sebarang isu yang boleh menyebabkan risiko kelewatan projek.

Selain itu, beliau turut mengingatkan kedua-dua entiti tersebut supaya memastikan kerja-kerja penyelenggaraan jalan sedia ada dilaksanakan segera.
“Walaupun ini adalah tempoh pembinaan Pan Borneo, ini tidak bermakna kita mengabaikan keadaan jalan sedia ada yang boleh membahayakan pengguna.
“Terdahulu, saya telah mengarahkan semua kontraktor yang terlibat untuk mengambil tindakan segera terhadap sebarang jalan berlubang atau permukaan jalan yang tidak rata,” tambahnya.
Projek Lebuhraya Pan Borneo Fasa 1 dibahagikan kepada Fasa 1A yang dijangka siap pada tahun 2026 dan Fasa 1B pada tahun 2028, dengan keseluruhan Fasa 1 melibatkan 35 pakej pembinaan jalan sepanjang 706 kilometer.