Filipina Mulakan Kempen Pilihan Raya

Filipina Mulakan Kempen Pilihan Raya

0
SHARE
Wira tinju dan juga senator Manny Pacquiao antara calon yang akan bertanding dalam pemilihan presiden negara Filipina - Sumber Foto AFP

MANILA, FILIPINA Filipina bakal memulakan kempen pilihan raya presiden secara rasmi pada Selesa bagi memilih pemimpin baharu yang akan menerajui negara tersebut.

Menurut laporan Bernama, kempen pilihan raya tersebut bakal berlangsung sebelum pengundian dijadualkan pada 9 Mei.

Seramai 67.5 juta rakyatnya yang telah daftar untuk mengundi, termasuk 1.8 juta pengundi dari luar negara dijangka akan keluar untuk mengundi pada tarikh tersebut.

Selain pemilihan presiden negara itu, rakyat Filipina juga akan memilih naib presiden, kira-kira 300 ahli perwakilan, dan lebih 18,000 wakil dalam kerajaan tempatan.

Dalam pada itu, 10 calon presiden dan sembilan calon naib presiden telah dicalonkan…

Bagaimanapun, calon-calon tidak lagi dibenarkan berkempen di bandar dan pekan dengan berinteraksi orang ramai bagi meraih undi.

Disebabkan keadaan COVID-19, Suruhanjaya Pilihan Raya telah mengenakan sekatan menghalang ahli politik berkempen rumah ke rumah, berkumpul, berjabat tangan, berpelukan, mencium, atau sebarang aktiviti yang melibatkan sentuhan fizikal.

Mengambil swafoto dan bergambar, aktiviti yang memerlukan penglibatan orang ramai, serta pengedaran makanan dan minuman adalah dilarang.

Oleh itu, calon dijangka akan lebih menonjol dalam platform digital dan mengupah penasihat media sosial bagi memancing undi belia, dan bilangan golongan itu lebih separuh daripada jumlah pengundi berdaftar.

Selain itu itu, kemuncak retorik kempen dan penyebaran skandal juga dijangka meningkat dalam tempoh beberapa hari akan datang berikutan kempen pilihan raya telah bermula.

Berdasarkan tinjauan, Ferdinand Marcos Jr., 64, anak lelaki kepada bekas Presiden Ferdinand Marcos, dilihat mendahului dalam saingan presiden.

Ia diikuti rapat Naib Presiden Maria Leonor Robredo berusia 56 tahun, Datuk Bandar Manila Francisco Domagoso, Senator Manny Pacquiao, Senator Panfilo Lacson, dan lima yang lain.

Di Filipina, presiden dan naib presiden dipilih secara berasingan.

Datuk Bandar Davao City Sara Duterte-Carpio, 43, anak perempuan kepada Presiden Rodrigo Duterte, akan bertanding jawatan naib presiden.

Sementara itu, Duterte dengan tempoh perkhidmatannya yang akan tamat pada Jun ini, masih belum menyatakan sokongan kepada mana-mana calon presiden.

Seperti dalam pilihan raya lalu, beberapa calon sudah mula berkempen di televisyen, media sosial dan radio, meskipun sebelum kempen bermula.

Seawal Oktober, calon presiden mula merentasi kepulauan menyampaikan hadiah dan wang tunai, melancarkan promosi di TV dan program pengiklanan di media sosial.