Tiada Istilah Kerajaan Gagal dalam Tadbir Urus Negara – Fairuz

Tiada Istilah Kerajaan Gagal dalam Tadbir Urus Negara – Fairuz

0
SHARE
Fairuz Renddan...

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua ARMADA BERSATU Negeri Sabah, Fairuz Renddan berkata Kerajaan Perikatan Nasional yang menerajui pemerintahan negara masa kini adalah kerajaan campuran yang saling bekerjasama dalam mengurus tadbir negara termasuk di saat berdepan pandemik COVID19.

“Kerajaan Persekutuan Kerajaan Perikatan Nasional terdiri daripada parti-parti komponen seperti BERSATU, UMNO, PAS, dan termasuk juga parti-parti tempatan Sabah seperti STAR, SAPP, PBS dan PBRS…

“Semua kita bersatu dalam nama Kerajaan Perikatan Nasional untuk memfokuskan kepada penyelesaian masalah yang melanda seluruh negara kerana COVID19, masakan wujud sesetengah pihak boleh melabel kerajaan kini sebagai kerajaan gagal?.

“Pastinya jika ada yang berkata demikian, bermakna dia sendiri tidak melihat kerjasama semua dalam gabungan yang membentuk Kerajaan Perikatan Nasional dan bercakap tanpa ada rasional,” katanya.

Fairuz berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini hari ini

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan itu juga, sejak pengumuman darurat dibuat, semuanya adalah bertujuan untuk menambah usaha bagi memulihkan semula keadaan semasa negara dari segi kesihatan dan keselamatan.

“Darurat diumumkan asalnya adalah untuk menangani pandemik COVID19, dan ini semua adalah untuk kebaikan rakyat dan negara, apatah lagi keadaan ekonomi turut merudum apabila pandemik global ini mula menjejaskan semua sektor dan industri…

“Pada pandangan saya, tidak wajar jika ada pihak bercakap sembarangan tentang kerajaan sebagai kerajaan gagal, kerana usaha kerajaan sejak mengambil alih tampuk pemerintahan adalah tidak pernah henti-henti, dan semuanya demi melawan pandemik COVID19 ini, sekaligus mensejahterakan rakyat,” tambahnya.

Selain itu, Fairuz turut mengajak semua pihak untuk bersama membantu usaha kerajaan dalam meningkatkan kesedaran tentang kepentingan untuk terus mematuhi SOP dan mendaftar untuk menerima vaksin COVID19.

“Kita sekarang, fokus untuk pulihkan negara, pulihkan ekonomi, bantu rakyat, bangkit semula dan bebas dari belenggu COVID19 yang sekian lama meruntun norma kehidupan kita, sehingga memaksa kita mengubah norma kita kepada norma baharu…

“Apa lagi jalan terbaik yang kita punya, selain daripada bersatu dan teguh melawan COVID19, terus patuh SOP, amalkan kawalan kendiri untuk diri sendiri dan keluarga serta orang sekeliling, dan ambil suntikan vaksin COVID19.

“Inilah usaha kita, sebagai rakyat Malaysia yang sayangkan negara dan mahu kehidupan seperti biasa, kehidupan di mana kita tidak perlu dibelenggu dengan ketakutan dengan pandemik yang mengancam nyawa ini,” ujar Fairuz lagi.