Maritim Sabah Tahan Bot Nelayan Lebih Muatan Di Perairan Pulau Sapi

Maritim Sabah Tahan Bot Nelayan Lebih Muatan Di Perairan Pulau Sapi

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Sebuah bot nelayan tempatan yang membawa muatan melebihi kapasiti ditahan pasukan Maritim Negeri Sabah di perairan berhampiran Pulau Sapi petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Haji Mohd Rosli Abdullah berkata bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan rutin Operasi Sejahtera di sekitar perairan Kota Kinabalu telah melakukan pemeriksaan ke atas bot nelayan yang mencurigakan terbabit.

“Pemeriksaan mendapati bot tersebut mempunyai nombor pendaftaran yang sah, namun telah melakukan kesalahan dengan membawa penumpang melebihi kapasiti dibenarkan…

“Tambahan pula, bot itu digunakan membawa seramai 10 orang pemancing warga tempatan termasuk dua kru dan seorang juragan.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot tersebut telah melanggar syarat lesen yang dikeluarkan oleh Jabatan Perlabuhan dan Dermaga Sabah kerana menjadikan bot nelayan sebagai bot membawa pemancing,” katanya.

Beliau menjelaskan juragan dan kru bot tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah peraturan 11(F) Enakmen Pelabuan dan Dermaga Sabah 2002 iaitu membawa penumpang melebihi had yang dibenarkan.

“Bot dan kru telah diserahkan kepada Jabatan Perlabuhan dan Demaga Sabah (JPDS) untuk tindakan selanjutnya,” katanya lagi.

Beliau menambah bahawa sejak Januari sehingga Oktober tahun ini, Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan telah merekodkan sebanyak 286 kes di mana 133 daripadanya adalah kesalahan dibawah JPDS.

“Antara kesalahan-kesalahan JPDS yang direkodkan adalah alat pemadam api tamat tempoh, tidak mempunyai jaket keselamatan, gagal melaporkan pertukaran nakhoda dan kesalahan kecil yang telah ditetapkan dalam Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002…

“Jika didapati bersalah pemilik bot akan dikenakan oleh JPDS kompaun mengikut kesalahan yang dilakukan,” tegas Rosli.