Lima Lelaki Ditahan Selepas Buat Kecoh Bergaduh Di Balai Polis

Lima Lelaki Ditahan Selepas Buat Kecoh Bergaduh Di Balai Polis

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – LIMA (5) lelaki termasuk seorang mangsa ditahan kerana bergaduh selepas baru sahaja membuat laporan polis di balai polis Luyang semalam.

Kes yang dipercayai berpunca dari konflik rumah tangga melihat mangsa, 29, menemani isteri seorang daripada penyerang untuk membuat laporan polis setelah wanita itu diusir dari rumah.

Walau bagaimanapun, niat untuk membantu dibalas dengan serangan dari empat (4) lelaki, termasuk si suami, yang berumur dalam kalangan 26 hingga 32 tahun.

Ketua Polis Kota Kinabalu, ACP Zaidi Abdullah berkata, untuk menyelamatkan diri, mangsa terus masuk semula ke dalam balai polis namun terus dikejar penyerangnya dalam insiden 8.40 malam itu.

“Anggota polis bertugas terpaksa meleraikan pergaduhan dan menahan kelima-lima mereka kerana membuat kecoh dan tidak senonoh dalam balai polis…

“Semua yang terlibat tidak akur dengan nasihat dan teguran polis,” katanya sambil menambah tiada kecederaan atau kerosakan harta benda awam dilaporkan.

Saringan ujian air kencing mendapati kelima lelaki terbabit negatif untuk penyalahgunaan dadah.

Zaidi berkata kes disiasat di bawah Seksyen 90 Akta Polis.