KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Negeri sentiasa menitikberatkan pelancongan desa kerana sektor itu mampu menjana pendapatan baru dan membawa masyarakat keluar dari kepompong kemiskinan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin berkata kerajaan mempunyai matlamat untuk menjadikan pelancongan desa di negeri ini lebih berdaya saing dan bertaraf dunia menjelang tahun 2025.
“Dalam usaha memperkasakan peranan penduduk luar bandar dalam aktiviti pelancongan, kita melihat konsep ‘community-based tourism’ atau pelancongan berasaskan komuniti sebagai potensi besar dalam usaha memajukan bukan saja komuniti kampung, malah sesebuah daerah.
“Ia juga meningkatkan keharmonian masyarakat dan kesedaran terhadap kepentingan menjaga alam sekitar,” kata beliau dalam ucapannya pada Majlis Taklimat Bersama Pegawai-Pegawai Pejabat Daerah Dan Pegawai-Pegawai Eksekutif Majlis Daerah hari ini.
Sejak pelancongan luar bandar diberi fokus pada tahun 2014, pengusaha pelancongan desa dan pelancongan berasaskan komuniti telah bertamabah kepada lebih 500 pengusaha di seluruh Negeri Sabah.
Jafry berkata ada antara mereka telah menerima penghargaan antarabangsa.
“Baru-baru ini, Walai Penyu Conservation Park, Libaran telah dianugerahkan ASEAN Sustainable Tourism Award Rural Category bagi tahun 2022-2023…
“Pelancongan berasaskan komuniti di Kampung Batu Puteh, Kinabatangan, juga telah dianugerahkan Best Tourism Village oleh United Nations World Tourism Organisation di Madrid, Spain.
“Pelancongan berasaskan komuniti di Kadamaian, Kota Belud pula telah dianugerahkan ASEAN Community Based Tourism Standard di Hanoi, Vietnam pada tahun 2020.
“Melihat kepada pencapaian ini, sudah tentu kita mahu melihat lebih banyak pengusaha pelancongan berasaskan komuniti menerima pengiktirafan yang serupa,” tambah beliau.





