KOTA KINABALU: Ketagihan rokok elektronik ‘vape’ menggunakan perisa ‘Magic Mushroom’ cecair jenis dadah sintetik yang mengkhayalkan merupakan wabak baharu yang mencetuskan kebimbangan serius di negara ini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah.
Katanya, budaya baharu menjadi ketagihan golongan muda itu menuntut kesungguhan serius kerajaan mengambil tindakan drastik sebelum ia menjadi barah dalam masyarakat.
Masiung dalam satu kenyataan menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertindak tegas terhadap pembakal cecair (flavour) dadah tersebut, termasuk mengharamkan penjualan rokok elektronik di negara ini.
“Tanpa disedari golongan belia dan remaja pada hari ini terperangkap dengan wabak baharu yang cukup membimbangkan,” katanya sebelum berlepas ke Kuala Lumpur menghadiri tugas rasmi, semalam.
“Modus operandi cecair vape dadah itu berselindung disebalik perisa buah-buahan yang diperolehi dari pembekal persendirian selain boleh didapati menerusi pasaran atas talian.
“Antara cecair vape yang mengkhayalkan dan popular menjadi ketagihan belia dan remaja pada hari ini ialah flavour jenis ‘Magic Mushroom’ yang dijenamakan pelbagai modal dan nama-nama menarik,” jelasnya.
Selain itu katanya, perisa ‘Creamy’ dan ‘Free Base’ juga didakwa mengandungi campuran nikotin dadah jenis ketamin.
Merujuk laporan Pusat Racun Negara (PRN), ketiga-tiga cecair aroma buah-buahan itu adalah dadah jenis ‘dimethyltrptamine’ yang dicairkan untuk melariskan flavour rokok elektronik.
Menurut Masiung, apa yang membimbangkan ketagihan vape telah menular di kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah yang jelas tertarik dengan teknologi elektronik dalam peranti vape dengan perisa dan aroma buah-buahan.
Berdasarkan laporan KKM, wujud peningkatan bilangan remaja melibatkan usia 13 tahun hingga 15 tahun ketagih vape, daripada 211, 084 pada tahun 2017 bertambah 301,109 individu pada 2022.
“Jika KKM terus bermain teka-teki berhubung isu itu, bilangan individu yang ketagih cecair nikotin berkenaan akan berganda jauh lebih banyak menjalang tahun 2030, “tegasnya lagi.
Menurut Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) itu turut menekankan bahawa Malaysia sepatutnya mencontohi negara jiran Singapora, Brunei, Thailand, Kemboja, Vietnam dan Taiwan yang mengharamkan penggunaan rokok elektronik itu.
Sebelum ini beberapa buah negara di rantau Asia mengumumkan pengharaman vape seperti Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Oman, Jordan dan Lubnan.