
KUALA LUMPUR – Pemberian hadiah daripada ahli keluarga sempena hari istimewa pastinya membawa makna yang besar kepada seseorang.
Memetik sumber portal Mstar, menerusi satu perkongsian di laman media sosial Tik Tok, seorang kanak-kanak lelaki menzahirkan rasa gembira apabila menerima hadiah sepasang kasut sukan daripada ibunya sempena sambutan ulang tahun kelahiran.
Sekali imbas kasut sukan tersebut hampir menyamai produk jenama popular yang mencecah ratusan ringgit.
Gembira dengan pemberian terbabit, kanak-kanak yang dikenali sebagai Arman itu kemudiannya memuat naik videi ke platform Tik Tok memaparkan dirinya beraksi menggunakan kasut sukan serba baharu itu.
Namun keterujaan Arman tidak bertahan lama apabila netizen mengesan kasut sukan terbabit adalah versi tiruan dan meminta kanak-kanak itu mendedahkan harga sebenar barangan ciplak itu.
“Betul, kasut yang saya dapat ni bukanlah kasut original. Tapi saya tak kisah apa orang nak cakap sebab ini hadiah istimewa daripada mak, itu pun dah cukup istimewa bagi saya.
“Bukannya semua orang mampu beli kasut original. Kasut yang tiruan ni pun dah terasa cukup mahal untuk kami.
“Tak perlu rancak sangat menghina. Bukannya saya sengaja menunjuk-nunjuk waktu upload vieeo pakai kasut tu. Hanya content semata-mata.
“Kepada mereka yang sudah terlanjur mengecam saya, saya maafkan,” katanya.
Dalam pada itu, ibu kepada Arman turut tampil memberikan penjelasan.
“Ya, saya belikan kasut ni untuk anak tak sampai RM80 termasuk pos. Saya minta maaf sebab tak dapat hadiahkan kasut yang original buat anak. Ini je yang saya mampu untuk menunaikan hasrat Arman.
“Setiap tahun hanya sekali saya bagi hadiah dekat anak iaitu pada hari jadinya,” katanya.
Berikutan perkongsian Arman itu menjadi tular, seorang warga maya bermurah hati membelikan sepasang kasut baharu berjenama daripada kedai peralatan dan pakaian sukan popular.