
KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel dalam satu operasi di sebuah stor tidak bernombor berhadapan SJK(C) Kuok Ming, Jalan Sin San, Pasir Putih, Tawau pada Rabu.
Serbuan dijalankan sekitar jam 2.20 petang oleh sepasukan pegawai penguat kuasa dari Ibu Pejabat KPDN Sabah.
Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas berkata, sebanyak 4,000 liter minyak diesel ditemui dalam 18 unit drum (sebanyak 2,000 liter) dan dalam sebuah tangki trailer (sebanyak 2,000 liter) yang disyaki diselewengkan.
“Turut disita barangan yang terlibat dalam aktiviti haram ini ialah sebuah kenderaan pacuan empat roda jenama Isuzu Single Cab.
“Tangki gentian yang telah diubah suai, 18 dram, hos getah, dua mesin pam minyak dan sebuah tangki trailer. Nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM 104,500,” katanya.
Dalam pada itu, Georgie berkata seorang lelaki warga tempatan berumur 31 tahun yang dipercayai penjaga stor berkenaan turut ditahan dan diambil keterangan bagi tujuan membantu siasatan.
Jelasnya, risikan telah dijalankan selama seminggu sebelum serbuan dijalankan.
“Berdasarkan keterangan awal, premis stor tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan minyak diesel di lokasi berkenaan.
“Sebagai tindakan lanjut, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan iaitu minyak diesel dengan tujuan untuk melakukan kesalahan,” katanya.