Dewa 19 dan Padi Reborn Gegar Axiata Arena 6 Jun Ini

Dewa 19 dan Padi Reborn Gegar Axiata Arena 6 Jun Ini

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Buat julung kalinya dalam sejarah penganjuran konsert di Malaysia, dua band gergasi Indonesia, Dewa 19 dan Padi Reborn, bakal disatukan di atas satu pentas menerusi konsert Dewa 19 – Cintaku Tertinggal di Malaysia yang dijadual berlangsung pada 6 Jun 2026, jam 8 malam di Axiata Arena Bukit Jalil.

Penganjur, Icon Entertainment, memaklumkan konsert berkenaan menjadi simbol kerinduan Dewa 19 terhadap peminat Malaysia selepas kali terakhir beraksi di Kuala Lumpur pada September 2023 menerusi A Night At The Orchestra – Chapter 5.

Pengasasnya, Iman Tang berkata, Malaysia sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati anggota Dewa 19 sejak awal penembusan mereka di pasaran tempatan dan pembentukan kelompok peminat setia, Baladewa.

“Konsert ini dinamakan Cintaku Tertinggal di Malaysia sebagai simbol cinta yang sentiasa ada antara Dewa 19 dan peminat di sini. Kali ini lebih istimewa apabila kami berjaya menyatukan Dewa 19 dan Padi Reborn dalam satu malam bersejarah,” katanya.

Konsert tersebut akan menampilkan barisan pemuzik utama Dewa 19 termasuk Andra Ramadhan, Yuke Sampurna dan Agung Yudha bersama tiga vokalis utamanya iaitu Ari Lasso, Virzha dan Marcello Tahitoe (Ello), serta Tyo Nugros.

Lebih mengujakan, Padi Reborn tampil sebagai band jemputan khas, menjadikan malam tersebut medan pertemuan signifikan antara Baladewa dan Sobat Padi. Antara lagu hit yang dijangka bergema termasuk Kasih Tak Sampai, Begitu Indah dan Menanti Sebuah Jawaban.

Menurut penganjur, konsep konsert tidak bersifat extravaganza, sebaliknya menampilkan suasana romantis dan sarat emosi selari dengan tema cinta yang menjadi identiti kedua-dua band.

Menariknya, peminat digalakkan mengenakan T-shirt band original sebagai tema pakaian rasmi, melambangkan sokongan tulen terhadap artis kesayangan mereka.

Tiket akan mula dijual pada Jumaat, 27 Februari 2026, jam 11 pagi menerusi platform Ticket2U. Harga tiket ditawarkan mengikut kategori iaitu:
• RM236 – Atas Nama Cinta
• RM288 – Bala Sobat
• RM388 – Pangeran Cinta
• RM428 – Laskar Cinta
• RM488 – Sedang Ingin Bercinta

Konsert ini dijangka mencetus fenomena dan mencipta sejarah baharu penganjuran hiburan di Malaysia dengan pertembungan dua nama besar muzik Indonesia dalam satu malam yang penuh nostalgia dan cinta.