KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah mengesahkan setakat ini tiada sebarang laporan kecemasan diterima susulan kejadian gempa bumi bermagnitud 6.8 yang berlaku di perairan Kota Kinabalu awal pagi tadi.
Bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga, semua balai bomba di seluruh negeri diarahkan memperhebat rondaan dan pemantauan di kawasan jagaan masing-masing bagi memastikan keselamatan orang awam serta keadaan persekitaran kekal selamat dan terkawal.
Menurut kenyataan pihak bomba ketika dihubungi, pemantauan dilakukan secara proaktif bagi mengesan sebarang kemungkinan kerosakan struktur bangunan, tanah runtuh atau risiko lain yang boleh menjejaskan keselamatan penduduk, khususnya di kawasan yang dilaporkan merasai gegaran.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan gempa bumi kuat itu berlaku pada jam 12.57 pagi dengan koordinat 7.0° Utara dan 116.4° Timur, kira-kira 49 kilometer barat dari Kudat pada kedalaman 678 kilometer.
Gegaran turut dirasai di beberapa kawasan di Sabah serta sebahagian Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Pihak meteorologi turut mengesahkan tiada ancaman tsunami kepada Malaysia dan akan terus memantau perkembangan semasa.
Orang ramai yang merasai gegaran diminta mengisi borang soal selidik yang disediakan bagi membantu penilaian lanjut pihak berkuasa.






