PAITAN: Empat unit satelit Starlink diserahkan bagi memperkukuh capaian komunikasi di beberapa kawasan di Paitan yang terjejas teruk akibat bencana banjir baru-baru ini.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, kemudahan itu disediakan oleh SabahNet Sdn Bhd (SabahNet), agensi di bawah kementeriannya, sebagai langkah segera memulihkan rangkaian komunikasi di kawasan terjejas.
Menurutnya, inisiatif tersebut penting bagi memastikan penyelarasan bantuan, penyampaian maklumat serta operasi pengurusan bencana dan pemulihan pasca banjir dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Empat unit satelit berkenaan diserahkan kepada Pegawai Daerah Paitan, Joloning Joe Majambu, untuk tujuan penyelarasan dan penempatan di lokasi yang dikenal pasti memerlukan capaian internet segera.
Beliau berharap kemudahan berkenaan mampu mempercepatkan proses pemulihan, sekali gus memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat yang terjejas terus diberi perhatian sewajarnya oleh pihak kerajaan.






