KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menegaskan pendirian tegas dan berprinsip dalam menolak sebarang tuntutan oleh Filipina terhadap Sabah yang kembali dibangkitkan susulan kenyataan Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina (DFA) berhubung peta pentadbiran 2012.
Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim berkata, pihaknya memandang serius kenyataan tersebut dan menganggap isu berkenaan tidak mempunyai asas perundangan mahupun legitimasi sejarah.
“Pemuda Gagasan Rakyat dengan tegas menolak sebarang tuntutan oleh Filipina yang tidak mempunyai asas perundangan mahupun legitimasi sejarah.
“Sabah merupakan sebahagian yang sah dan berdaulat dalam Persekutuan Malaysia dan kedudukan ini telah dimuktamadkan melalui proses sejarah serta kerangka perundangan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, pendirian itu selaras dengan kenyataan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sebelum ini yang mengulangi ketegasan Sabah dalam mempertahankan kedaulatan negeri dalam Persekutuan Malaysia serta menegaskan kerajaan negeri tidak akan melayan sebarang tuntutan sedemikian.
Menurut Azrul, isu berkenaan tidak seharusnya dibangkitkan semula kerana berpotensi menjejaskan hubungan baik serantau serta mencetuskan kegusaran antara negara terlibat.
“Kami berpandangan bahawa isu ini tidak wajar dihidupkan kembali kerana ia boleh menjejaskan hubungan baik serantau dan mencetuskan ketegangan yang tidak perlu,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menyeru seluruh rakyat Sabah khususnya golongan muda untuk terus bersatu hati dan memperkukuh semangat kebersamaan dalam mempertahankan kedaulatan negeri.
“Dalam menghadapi sebarang cabaran, perpaduan rakyat adalah kekuatan utama yang perlu dipelihara. Sabah adalah tanah air yang dibina atas asas keamanan, keharmonian dan kedaulatan yang tidak boleh dikompromi,” tegasnya.
Azrul turut menegaskan komitmen Pemuda Gagasan Rakyat untuk terus menjadi suara yang mempertahankan kedaulatan Sabah serta menyokong segala usaha kerajaan dalam memastikan keselamatan dan kestabilan negeri sentiasa terpelihara.
“Dalam soal kedaulatan, pendirian kita jelas — tegas, konsisten dan tidak berkompromi. Sabah kekal bersama Malaysia, dulu, kini dan selamanya,” katanya.






