KOTA KINABALU: Peratusan liputan jalur lebar mudah alih di kawasan berpenduduk di negeri Sabah telah meningkat kepada 90.59 peratus pada suku keempat tahun lalu.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, peratusan itu meningkat berbanding 73.41 peratus sebelum pelaksanaan pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) pada suku kedua tahun 2020.
“Manakala, peratusan liputan 5G di kawasan berpenduduk sabah telah mencapai 68.1peratus. Pihak kementerian mengambil maklum atas kelewatan projek JENDELA yang dihadapi di negeri Sabah.
“Untuk makluman Yang Berhormat, pihak kementerian sedang memantau isu kelewatan ini melalui jawatankuasa teknikal pembangunan infrastruktur teknologi digital negeri Sabah, katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungannya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Rabu.
Tambah Arifin, kementeriannya melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah banyak membuat libat urus dengan beberapa agensi kerajaan negeri dan persekutuan demi memastikan semua kekangan yang dihadapi oleh pembina menara dalam melaksanakan projek JENDELA dapat diatasi.