Lebih 30 Ribu Warga Asing Di Sabah Direkodkan Dalam Sistem S.W.I.M.S

Lebih 30 Ribu Warga Asing Di Sabah Direkodkan Dalam Sistem S.W.I.M.S

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seramai 39,276 jumlah warga asing telah berjaya direkodkan ke dalam Sistem Pengurusan Bersepadu Pekerja Asing dan Bukan Pemastautin Negeri Sabah (S.W.I.M.S) yang juga telah diperakukan oleh majikan.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, keseluruhan jumlah itu merangkumi 21,994 orang pekerja dan 17,282 orang tanggungan.

Jelas Nizam, program outreach aktiviti pendataan digital kini sedang berjalan aktif sejak dimulakan pada 12 september 2022.

“Program ini sedang berjalan dengan aktif termasuk semasa bulan Ramadan, di mana setakat ini sebanyak lima buah syarikat perladangan telah menyertai dan terlibat sepenuhnya. 

“Antara syarikat tersebut adalah seperti berikut, Kumpulan Sawit Kinabalu; Sabah Softwood Berhad; Benta Wawasan Sdn Bhd; FGV Plantations dan Cepat Wawasan Group Berhad,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick yang bertanya mengenai status semasa cadangan pendataan digital pendatang asing dan berapakah jumlah pendatang asing terkini direkodkan di Sabah.

Nizam yang juga ADUN Apas berkata, warga asing ini didatakan secara digital dengan melibatkan pengambilan maklumat peribadi, pengecaman muka dan biometrik.

“Golongan warga asing ini didatakan adalah berdasarkan matriks pendataan berpandukan Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” jelasnya.