Kumpulan industri kesal kontroversi majlis makan malam hidang minuman arak

Kumpulan industri kesal kontroversi majlis makan malam hidang minuman arak

0
SHARE

KOTA KINABALU, 6 Oktober – Tiga kumpulan industri pelancongan menyatakan kekesalan terhadap kontroversi yang tercetus berhubung penghidangan arak pada majlis makan malam sempena Global Travel Meet (GTM) baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan bersama, Malaysian Indian Travel & Tours Association (MITTA), Malaysian Inbound Chinese Association (MICA) dan Malaysia My 2nd Home Consultants Association (M2HCA) menjelaskan bahawa majlis pada 1 Oktober lalu itu sebenarnya dianjur dan dibiayai sepenuhnya oleh pemain industri pelancongan, bukannya oleh Tourism Malaysia atau Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“MITTA, MICA dan M2HCA memahami sepenuhnya kontroversi yang timbul daripada majlis makan malam tersebut.

“Dengan ikhlas kami melahirkan kekesalan dan memohon maaf kepada kementerian serta Tourism Malaysia, khususnya kepada Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing,” menurut kenyataan itu.

Kumpulan industri berkenaan turut menjelaskan bahawa GTM mencapai kejayaan membanggakan apabila program itu menjana impak ekonomi melebihi RM420 juta, selain menghimpunkan lebih 600 pembeli antarabangsa serta lebih 100 wakil media luar negara.

Mereka berkata, kenyataan itu dikeluarkan bagi menangkis maklumat yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan mengelirukan berkaitan majlis makan malam tersebut.

Terdahulu, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin memuat naik keratan video di Facebook pada Sabtu lalu yang mempersoalkan mengapa minuman beralkohol dihidangkan dalam acara kerajaan, dengan mendakwa ia bertentangan dengan norma budaya serta Perlembagaan Persekutuan.

Susulan itu, King Sing menafikan dakwaan bahawa arak dihidangkan dalam majlis yang dihoskan kerajaan, sebaliknya menjelaskan bahawa acara berkenaan dianjurkan oleh rakan kongsi sektor swasta bagi meraikan kejayaan penganjuran acara pelancongan global pertama seumpamanya di Malaysia.

Beliau turut memaklumkan bahawa walaupun pada peringkat awal Tourism Malaysia disenaraikan sebagai penganjur, pihak industri swasta kemudian mengambil alih penganjuran bagi tujuan memeterai perjanjian perniagaan yang lebih besar.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau akan membangkitkan bantahan UMNO terhadap penghidangan arak pada majlis tersebut dalam mesyuarat Jemaah Menteri akan datang.