KOTA KINABALU, 6 Oktober – Ketiadaan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dijangka tidak terlalu menjejaskan kekuatan gabungan itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ) ke-17 akan datang.
Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berpandangan walaupun kehilangan dua parti berkenaan mengurangkan kepelbagaian wakil tempatan dalam bendera GRS, gabungan itu masih memiliki beberapa kelebihan penting termasuk kedudukan sebagai parti pemerintah dan kekuatan akar umbi daripada komponen lain.
“GRS masih mempunyai kelebihan incumbency (sebagai parti pemerintah) serta komponen lain yang memberi tapak akar umbi.
“Secara umumnya, sokongan keseluruhan bergantung kemampuan gabungan itu menyerap undi penyokong tegar STAR dan SAPP, keberkesanan mesej pembangunan serta pencapaian yang dibuktikan, selain strategi pembahagian kerusi antara komponen termasuk dengan Pakatan Harapan (PH),” katanya memetik Sinar Harian.
Jelasnya, politik Sabah sejak sekian lama memang dibina atas kekuatan gabungan besar atau ‘big tent coalition’ yang menghimpunkan parti-parti berasaskan daerah dan kaum.
Mujibu berkata, model berkenaan berfungsi baik dalam konteks Sabah kerana komposisi pengundi di negeri itu majmuk serta memerlukan perkongsian kuasa politik.
Menurutnya lagi, model itu mempunyai kelemahan dari aspek ketegangan dalaman dan perebutan kerusi.
Bagaimanapun, Mujibu memaklumkan, kelebihan model itu adalah ia boleh menghasilkan majoriti tipis di kawasan marginal, selain memberi imej kestabilan dan perkongsian sumber antara parti.
Beliau melihat bahawa STAR dibawah Presidennya, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan mempunyai pengaruh signifikan dalam kalangan pengundi Kadazan-Dusun-Murut (KDM) khususnya berkait isu hak negeri dan tanah adat, manakala SAPP membawa sentimen lokalisme dan kedaulatan negeri yang boleh mengena dalam kalangan pengundi Cina bandar.
“Cumanya, dengan kes video yang terpalit dengan Jeffrey, ia mungkin menjadi cabaran buat STAR untuk memancing undi orang muda dan atas pagar KDM,” katanya.
Tanpa dua parti itu, Mujibu mengakui GRS berpeluang menjenamakan diri sebagai gabungan lebih mantap dengan syarat ia mampu menetapkan naratif tunggal berasaskan rekod pembangunan, memastikan pembahagian kerusi lebih tersusun serta mengukuhkan mobilisasi akar umbi.
“Rebranding GRS hanya akan berjaya jika ia tampil sebagai ‘coalition of delivery’ iaitu gabungan yang bukan sekadar politik, tetapi benar-benar menepati janji pembangunan,” ujarnya.
Justeru, beliau menasihatkan GRS untuk segera menyusun semula naratif kempen, menetapkan pembahagian kerusi dengan rapi serta memobilasi akar umbi.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, GRS kekal dilihat utuh dan masih berupaya mempertahankan sokongan rakyat pada PRN akan datang dengan strategi yang lebih tersusun serta imej sebagai gabungan stabil.
“Melihat situasi semasa dengan perkembangan sedia ada, terdapat beberapa senario berpotensi berlaku termasuklah jika GRS berjaya dijenamakan semula dan mencapai pakatan taktikal dengan parti lain, ia berada dalam kedudukan terbaik untuk menang PRN,” katanya.

Terdahulu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan berkuat kuasa hari ini sekali gus memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17.
Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, permohonan pembubaran itu sudah diperakukan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman pagi ini.






