KOTA KINABALU, SABAH – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) hari ini mengumumkan seorang calon tunggal di Sabah, Shahrizal Denci, 40, untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Kota Marudu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Timbalan Presiden MUDA merangkap Pengarah Pilihan Raya, Amira Aisya Abd Aziz berkata calon terbabit merupakan seorang petani, pengasas bersama parti merangkap Naib Presiden MUDA.
Katanya, Shahrizal juga merupakan pemilik syarikat sayur-sayuran yang menjadi pembekal utama pasaraya dan restoran terkemuka di Sabah.
Selain itu, menurutnya pencalonan Shahrizal juga dibuat selaras dengan kuasa autonomi kepada pimpinan MUDA Sabah untuk memilih dan menghantar calon di negeri ini.
“Pencalonan pimpinan MUDA di Sabah adalah selaras dengan usaha MUDA untuk menampilkan wakil yang dekat, faham dengan isu rakyat, aktif di dalam politik khidmat serta sentiasa fokus dalam merangka dasar yang adil serta saksama untuk Malaysia,” katanya dalam satu sidang media khas di pejabat utama MUDA, bertempat di Damai, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi MUDA Sabah, Amos Thien.
Sementara itu, Shahrizal dalam sidang media tersebut memberitahu media matlamat utamanya untuk bertanding sebagai calon Ahli Parlimen adalah bagi membela nasib dan memperkasakan golongan petani.
Menurutnya, majoriti penduduk di Kota Marudu merupakan petani dan beliau berpendapat dengan memperkasakan golongan petani dapat menjamin keselamatan makanan negara.
“Amat menyedihkan bila melihat kebanyakkan petani di Kota Marudu berhenti menanam padi kerana harga padi adalah 80 sen per kilogram. Harga getah juga sangat rendah…
“Jadi kita mahu berjuang untuk golongan petani ini. Kita akan buat sekecil-kecil sehingga sebesar-besar perkara mengikut kemampuan kita.