Angin Kencang, Laut Bergelora, Sabah dan Labuan Dijangka Turut Terjejas hingga 26...

Angin Kencang, Laut Bergelora, Sabah dan Labuan Dijangka Turut Terjejas hingga 26 September

0
SHARE

KOTA KINABALU: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora Kategori Pertama yang dijangka memberi kesan kepada beberapa perairan termasuk Laut China Selatan berhampiran Sabah dan Labuan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada jam 2.00 petang pada Sabtu, angin barat berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dengan ombak setinggi 2.5 hingga 3.5 meter sedang berlaku dan dijangka berterusan sehingga 26 September 2025.

Amaran ini melibatkan perairan Phuket, timur laut Condore, utara Reef North serta Palawan, namun tempias keadaan laut bergelora turut dirasai di sekitar perairan Sabah Barat termasuk Labuan.

Kawasan ini lazimnya terdedah kepada gelombang laut yang lebih kuat apabila angin monsun barat bertiup kencang.

MetMalaysia menegaskan keadaan ini berbahaya terutamanya kepada bot kecil yang melalui perairan Sabah dan Labuan.

Selain itu, aktiviti rekreasi laut, termasuk menyelam dan memancing, sukan laut seperti layar dan berenang juga bahaya ketika ini.

Penduduk pesisir pantai, nelayan serta pengusaha pelancongan laut di sekitar Labuan, Kudat, Kota Kinabalu dan pantai barat Sabah dinasihatkan berwaspada dan merancang perjalanan mengikut keadaan cuaca semasa.

Pihak berkuasa turut mengingatkan agar semua pihak mengutamakan keselamatan dan sentiasa mengikuti laporan serta amaran terkini yang akan dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh MetMalaysia.