TAMBUNAN: Kontinjen Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Tambunan menerima suntikan semangat menjelang Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Negeri Sabah apabila menerima sumbangan peribadi berjumlah RM10,000 daripada Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Tambunan, Datuk Victor Peter Paut.
Sumbangan itu disampaikan Victor kepada Pegawai Pendidikan Daerah Tambunan, Johari Awang Damit, sebagai tanda sokongan dan penghargaan terhadap usaha melahirkan atlet-atlet muda yang cemerlang serta mampu mengharumkan nama daerah di peringkat negeri.
Inisiatif berkenaan turut mencerminkan komitmen Victor dalam menyokong pembangunan sukan, belia dan aktiviti kebudayaan yang menjadi antara teras utama kepimpinan PGRS di Tambunan.
Johari berkata, sumbangan itu diharap dapat menyuntik semangat kepada para atlet MSSD Tambunan untuk memberikan aksi terbaik pada Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Negeri Sabah yang akan berlangsung di Ranau tahun ini.
“Ia sesuatu yang baik dan semoga anak-anak pelajar kita atau para atlet di dalam kontinjen MSSD Tambunan tersuntik semangat untuk terus cemerlang di Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Negeri Sabah di Ranau tahun ini,” katanya mewakili pihak MSSD Tambunan.






