TUARAN, SABAH – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada hari ini mengumumkan untuk melantik seorang senator daripada golongan belia bagi mewakili suara belia di Dewan Negara.
Katanya, beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan menyatakan bahawa tujuan tersebut penting agar kerajaan boleh mendengar suara belia.
“Saya berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan melihat pentingnya belia kepada negara, suara belia pasti didengari oleh kerajaan, pandangan belia pasti dihargai oleh kerajaan, belia adalah masa hadapan negara.
“Demikian, untuk mendengar suara belia, pandangan belia, maka saya mengumumkan untuk melantik seorang Senator daripada golongan belia…
“Saya percaya, dengan adanya wakil belia dalam Dewan Negara, suara belia kita didengar secara terus daripada wakil belia kita,” katanya semasa berucap sempena sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2022 Peringkat Kebangsaan di Padang Pekan Tuaran, di sini, pada Sabtu.
Turut hadir semasa program tersebut adalah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Ahmad Faizal.
Mengulas lanjut, Ismail berkata belia adalah aset negara dan masa depan negara bergantung kepada warga belia yang ada.