Polis Marin Semporna Raih Kejayaan Besar Mengekang Jenayah Maritim

Polis Marin Semporna Raih Kejayaan Besar Mengekang Jenayah Maritim

0
SHARE

SEMPORNA, SABAH – Polis Marin Semporna meraih kejayaan besar dengan rampasan bernilai sebanyak RM28,598 dari tiga kes berasingan semalam.

Kes pertama melibatkan dua suspek lelaki yang melarikan diri ke arah kawasan pokok bakau di Tanjung Manimpa Pulau Bum Bum pada waktu petang.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin Semporna , DSP Mohamad Ismail berkata suspek bertindak memecut laju apabila menyedari kehadiran polis.

“Pemeriksaan pada bot pam mereka menjumpai beberapa bungkusan berisi barang kosmetik…

“Kesalahan ini disiasat di bawah Akta Racun 1952 dan dirujuk ke Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Bahagian Perkhidmatan Farmasi Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Tawau,” katanya.

Pada masa yang sama, di kawasan laut Singamata Pulau Bum Bum, seorang lelaki yang juga menaiki sebuah bot pam turut bertindak memecut ke kawasan air cetek dan lari meninggalkan bot untuk ke kawasan bakau.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot pam tersebut menjumpai beberapa jerikin berisi minyak petrol…

“Kes disiasat dibawah Akta Kawalan bekalan 1961 dan dirujuk ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ( KPDNHEP) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Manakala di Laut Tanjung Manimpa Pulau Bum Bum lagi, sebuah bot pam lagi ditahan kali ini dengan tangkapan dua lelaki berumur 35 dan 45 tahun.

Ismail berkata hasil pemeriksaan ke atas bot menjumpai ikan pelbagai jenis dengan berat lebih kurang 10 kg yang dipercayai ditangkap dengan menggunakan bahan letupan.

Suspek ditahan dibawah Akta Perikanan 1985 dan kes diserah kepada Jabatan Perikanan Semporna untuk siasatan lanjut.

“Tangkapan-tangkapan tersebut merupakan satu kejayaan besar dalam satu operasi yang dilancarkan,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Dalam pada itu beliau mengingatkan bahawa pasukan polis Marin Sabah sentiasa mengalu-alukan seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197.