GRS komited bantu anak muda, cadang dasar subsidi pinjaman pendidikan

GRS komited bantu anak muda, cadang dasar subsidi pinjaman pendidikan

0
SHARE

Oleh: Ahmad Fazlan Shah Abd Rahman

PENAMPANG, 21 September – Kerajaan Sabah berhasrat memperkenalkan dasar subsidi pinjaman pendidikan melibatkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan pinjaman Yayasan Sabah bagi meringankan beban hutang pelajar.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata inisiatif tersebut dijangka memberi manfaat kepada lebih 100,000 peminjam selain membuktikan kesungguhan kerajaan GRS untuk memastikan lebih ramai anak Sabah dibantu.

“Saya optimis dasar ini adalah praktikal untuk dilaksanakan kerajaan negeri, bergantung kepada kedudukan kewangan negeri pada masa akan datang. Selain itu, kerajaan negeri turut merancang melaksanakan pendidikan percuma kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri, iaitu UCSF dan KTYS.

“Inilah bukti kesungguhan kerajaan GRS untuk memastikan lebih ramai anak Sabah dibantu, di samping menjamin akses pendidikan sampai kepada para pelajar. Justeru, kerajaan negeri memberi penekanan serius terhadap pendidikan dan pembangunan modal insan kerana kita yakin golongan muda adalah cerminan masa depan negeri Sabah yang kita cintai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Mahasiswa Sabah 2025 di Dewan Kadazan Dusun Cultural Association KDCA, di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif serta wakil mahasiswa negeri Sabah.

Mengulas lanjut, Hajiji menegaskan kerajaan negeri sentiasa komited mendengar suara mahasiswa dan anak muda yang disifatkan sebagai aset terpenting negeri.

Jelasnya, penganjuran konvensyen ini amat bertepatan kerana ia membuka ruang kepada golongan pelajar menyuarakan pandangan, aspirasi serta kritikan yang penting dalam memperbaiki dasar-dasar kerajaan.

“Kerajaan negeri akan menyediakan lebih banyak platform seperti dialog, forum dan bentuk libat urus lain bagi memastikan pandangan mahasiswa sentiasa diambil perhatian serius oleh kerajaan negeri,” katanya.

Hajiji berkata kerajaan GRS akan terus berpegang pada komitmen memperjuangkan nasib pelajar dengan meneruskan serta memperkukuhkan inisiatif sedia ada, selain menambah pelbagai inisiatif pendidikan baharu dari semasa ke semasa.

Beliau turut memaklumkan konvensyen itu membincangkan lapan kluster utama termasuk pendidikan, pembangunan modal insan, infrastruktur, MA63 serta peluang pekerjaan, selaras dengan keperluan anak muda di negeri ini.

“Saya akan memastikan setiap usul yang dikemukakan diberikan perhatian serius oleh kerajaan negeri dan perkara ini dibawa ke mesyuarat kabinet negeri Sabah dalam masa terdekat,” katanya.