SANDAKAN: Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan memohon waris atau ahli keluarga seorang kanak-kanak lelaki tampil segera selepas ditinggalkan tanpa penjaga sejak dimasukkan ke wad kanak-kanak, 17 September lalu.
Pengarah HDOK, Dr Mohd Fahmie Othman dalam satu kenyataan berkata, pesakit berkenaan dikenali sebagai Adam, berusia sekitar 13 tahun.
Menurut beliau, kanak-kanak itu dihantar ke hospital oleh pihak polis selepas ditemui berkeliaran sendirian di kawasan Batu 7, Sandakan.
“Namun sehingga kini, tiada waris atau ahli keluarga yang hadir untuk melawat atau menuntut kanak-kanak berkenaan.
“Orang ramai yang mengenali waris pesakit ini diminta segera menghubungi Wad Kanak-Kanak HDOK di talian 089-248600 sambungan 5622/5624. Mereka juga boleh menghubungi Pegawai Kerja Sosial Perubatan di talian 089-248518,” katanya.
Beliau menegaskan, pihak hospital amat berharap agar waris atau keluarga dapat segera tampil bagi memastikan kebajikan dan masa depan kanak-kanak tersebut terjamin.






