KUALA LUMPUR – Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou menghadiahkan pingat emas kedua buat negara selepas menang pada final badminton perseorangan lelaki kategori SU5 (kecacatan fizikal) Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang berlangsung di Stadium Kebangsaan Yoyogi, sebentar tadi.
Liek Hou, 33, yang juga juara dunia enam kali, itu turun melakar sejarah sendiri memenangi emas setelah menewaskan pilihan utama kejohanan Dheva Anrimusthi dari Indonesia 21-17, 21-15 dalam 50 minit.
“Liek Hou mengatasi lawan nombor 1 dunia dalam final yang menggigit kuku untuk menyampaikan emas kedua Malaysia,” kata Persatuan Badminton Malaysia dalam tweet.
Untuk rekod, Liek Hou menang dalam pertemuan terakhir dengan Dheva ketika aksi final Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Dubai, April lalu yang menyaksikan dia muncul juara.
Terdahulu, pingat emas pertama negara di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 disumbangkan Bonnie Bunyau Gustin dalam acara powerlifting dalam kelas 72 kilogram (kg).