PUTATAN, SABAH – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia (KUKKM) merupakan inisiatif bagi mempromosikan pelbagai program pembangunan keusahawanan.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, karnival tersebut juga merupakan inisiatif KUSKOP dan agensi-agensinya memperkasakan lagi ekosistem keusahawanan di peringkat akar umbi secara holistik dan kondusif.
“Walaupun hanya berlangsung satu hari sahaja, program ini berupaya merapatkan lagi hubungan komuniti usahawan di negeri ini…
“Semoga penganjuran program KUKKM berupaya menyuntik semangat baharu serta memberi inspirasi kepada usahawan dan koperasi untuk terus memantapkan dan mengembangkan perniagaan masing-masing,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Setiausaha Politiknya, Datuk Kamaruzzaman Johari dalam Majlis Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia (KUKKM) Peringkat Negeri Sabah di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, Noh merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad atas penglibatan dalam mengadakan Karnival Jualan Keluarga Malaysia (JKM) dan BA100.
Beliau memaklumkan pelaksanaan program jualan murah berkenaan tepat pada masanya dengan mengambil kira peningkatan kos sara hidup rakyat dan memudahkan rakyat negeri ini mendapatkan barangan keperluan asas pada kadar harga lebih rendah dari pasaran.
Sementara itu, turut diadakan sesi penyerahan pembiayaan serta sumbangan zakat bernilai hampir RM29.65 juta daripada agensi di bawah KUSKOP kepada usahawan, koperasi dan persatuan di negeri Sabah.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Suriani Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Zazali Harun dan Pengerusi Majlis Pembangunan Usahawan dan Koperasi Parlimen Putatan, Jeffrey Nor Mohamed.