KOTA KINABALU, SABAH – Seorang Penolong Pegawai Pendidikan Daerah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai menyalahgunakan kedudukan bagi melantik syarikat milik anak saudaranya dalam tender kantin sebuah sekolah.
Suspek lelaki berumur dalam lingkungan 40an itu ditahan di pejabat SPRM Sabah cawangan Sandakan kira-kira pukul 11 pagi hari ini ketika hadir memberi keterangan…
Menurut sumber, suspek yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Pendidikan Daerah telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan tender kantin sekolah bernilai kira-kira RM50,000 bagi tempoh 3 tahun kepada syarikat milik anak saudaranya sekitar Disember 2015 sehingga November 2018.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Tambah beliau, suspek akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Sandakan dalam tempoh terdekat.