KOTA KINABALU, SABAH – Hampir 500 individu telah mengambil suntikan penggalak mereka sejak program penggalak vaksinasi pusat beli-belah Centre Point Sabah di Food Eden, Tingkat 5, bermula pada 4 Feb (Jumaat) lalu.
Pegawai Perhubungan Awam Centre Point Sabah, Meredith Madani berkata, program tersebut akan dijalankan dari 10 pagi hingga 4 petang sehingga 28 Februari ini.
Katanya pusat beli-belah itu menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah dipilih untuk memudahkan individu dewasa di kawasan bandar Kota Kinabalu sesuai dengan lokasi di tengah pusat bandaraya.
“Masyarakat Sabah yang turut dilanda varian Omicron menyebabkan kes meningkat dalam beberapa hari kebelakangan ini.
“Kini adalah masa yang penting bagi sesiapa yang berumur 18 tahun ke atas untuk mendapatkan dos penggalak mereka.
“Mendapatkan suntikan penggalak boleh membantu mengekalkan tahap perlindungan yang tinggi terhadap jangkitan COVID-19 dan mengekang penyebarannya kepada orang lain,” katanya.
Selaras dengan garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia, pelaksanaan dos penggalak akan menggunakan vaksin Pfizer atau Sinovac, yang akan diberikan secara percuma dan dikendalikan oleh Klinik Medisinar cawangan Api-Api.
Seorang pengunjung, James, 35, berkata dia berjaya mendapatkan suntikan penggalaknya di pusat beli-belah tersebut sambil sempat menghabiskan urusan harianny tanpa sebarang kerumitan.
“Ia dibuka sehingga hujung bulan saya rasa pusat ini teratur dan tidak sesak. Tak sampai 30 minit, selesai!” katanya.
Seorang lagi ‘walk-in’, Nurul Atiqah, merupakan seorang pekerja di pusat beli-belah itu.
Katanya selepas menonton video ‘Facebook Live’ oleh pihak pengurusan beliau segera pergi ke pusat pemberian vaksinasi (PPV) tersebut untuk mendapatkan suntikan.
Dalam pada itu, pihak pengurusan Centre Point Sabah menggesa orang ramai yang layak untuk mendapatkan dos penggalak dengan segera untuk melindungi diri mereka, keluarga mereka, dan masyarakat terutamanya dengan lonjakan kes yang berkaitan dengan varian Omicron.
“Bagi ibu bapa yang ingin memberi suntikan vaksin kepada anak, merka boleh terus ke Klinik Medisinar di Api-Api Centre.
“Manakala bagi mereka yang ingin mendapatkan dos 1 atau dos 2, dikehendaki membuat temujanji sebelum memasuki PPV pusat beli-belah ini,” tambah Meredith.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Cik Zia (011-3196 6615) atau Cik Dymna (012-803 4006).





