Wanita Jepun Tinggalkan Anak Tiga Tahun Bersendirian Selama Seminggu Sehingga Meninggal Dunia

Wanita Jepun Tinggalkan Anak Tiga Tahun Bersendirian Selama Seminggu Sehingga Meninggal Dunia

0
SHARE

TOKYO, JEPUN – Seorang wanita warga Jepun dijatuhi hukuman penjara selama lapan tahun setelah membiarkan anak perempuanya yang berumur tiga tahun bersendirian di rumahnya selama seminggu sehingga meninggal dunia.

Menurut laporan berita News On Japan, Mahkamah Daerah Tokyo membuat keputusan tersebut setelah Saki Kakehashi, 26 mengaku bersalah melakukan perkara tersebut di rumah mereka pada 2020.

Difahamkan wanita itu telah meninggalkan teh dan gula-gula untuk anak perempuannya, Noa di apartmen mereka di bandar Ota ketika dia menghabiskan masa bersama teman lelakinya di bandar Kagoshima selama seminggu…

Kakehashi kemudian membuat panggilan kecemasan dan berkata, Noa tidak bernafas sejurus sekembalinya daripada percutian tersebut pada 13 Jun 2020.

Kanak-kanak tersebut dibawa ke hospital tetapi disahkan meninggal dunia akibat dehidrasi dan kelaparan. Perut mangsa juga hampir kosong.

Sementara itu, doktor-doktor mendapati ruam di bahagian punggungnya kerana lampin yang tidak ditukar terlalu lama.

Pendakwa raya mendakwa Kakehashi cuba menyembunyikan fakta kes dengan menyapu ubat pada ruam tersebut selain menukarkan lampin baharu sebelum dia membuat panggilan kecemasan, lapor Kyodo. 

Menurut pendakwa raya, Kakehashi bertindak menyekat Noa di ruang tamu dengan sofa yang menghalang laluan ke pintu dapur sebelum berangkat ke Kagoshima.

Bagaimanapun, Kakehashi berkata, ia mahu mengelakkan Noa daripada mencederakan diri sendiri dengan pisau atau barangan dapur lain.

Noa dilaporkan tidak dihantar ke rumah pengasuh selama lebih setahun sebelum dia meninggal dunia. Kakehashi tinggal sendirian bersama anak perempuannya selepas bercerai dengan bapa Noa pada 2016.