Teater Mini STEM Platform Suntik Minat Pelajar

Teater Mini STEM Platform Suntik Minat Pelajar

0
SHARE
Arifin
Johan pertandingan dari SMK Beaufort Tiga bergambar kenangan bersama Arifin (tengah) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Pertandingan Pementasan Teater Mini berunsurkan Sains ,Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) merupakan platform terbaik dalam menyuntik semangat pelajar terhadap bidang STEM.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, program berkenaan memberi semangat kepada pelajar berkarya lebih banyak dalam bidang inovasi.

“Sebanyak 20 hasil karya STEM inovasi digilap oleh penganjur dan kita harap program ini akan lebih memberikan semangat kepada anak-anak untuk mencipta karya sedemikian.

“Penting untuk mendekatkan mereka dengan program-program seperti ini supaya sasaran kerajaan untuk meramaikan lagi pelajar yang terlibat dalam STEM dapat kita capai.

“Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Tugas-tugas khas yang bertanggungjawab dalam aspek pendidikan akan membantu program ini setiap tahun dan saya akan mengenal pasti beberapa kementerian untuk membantu dan membuat susulan kepada hasil karya mereka.

“Sudah pasti hasil karya mereka akan kita komersialkan dan yang paling penting kita akan patenkan,” beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Pementasan Mini Teater STEM Sabah Tahap 1 di sini, pada Rabu.

Pada majlis itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beaufort 3 dinobatkan sebagai juara yang membawa pulang sebuah trofi beserta wang tunai, disusuli SMK St. Pedrick Inovator di tempat kedua manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh SMK Membakut 2.

Turut hadir, Naib Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS) Professor Datuk Dr Kasim Mansur serta Pengerusi Persatuan STEM Kebangsaan, Datuk Dr. Noraini Idris. — JABATAN PENERANGAN SABAH