BEAUFORT, SABAH – Kehadiran konvoi motorsikal berkuasa tinggi nyata mengujakan masyarakat di sekitar Pekan Beaufort kira-kira jam 10.10 pagi.
Apa tidaknya, deruan siren polis yang bertalu-talu sebagai amaran kepada para pengguna jalan raya mengenai kehadiran konvoi lebih 150 buah motorsikal.
Tanpa tahu siapa berada dalam konvoi, masyarakat tetap memberi perhatian, tidak kurang juga dengan anak-anak kecil yang melambai-lambaikan tangan ke arah konvoi terutama semasa melalui kawasan Pekan Beaufort.
Antara yang teruja menyaksikan konvoi tersebut melalui Bulatan Limau di sini sehingga selesai ialah pekerja swasta, Hazryn Ahmad, 38, yang bercuti bersama keluarganya di Beaufort.
“Wow, kali pertama saya nampak konvoi motorsikal yang begitu banyak, mantap penganjurnya…padu,” katanya.
Konvoi Kembara 2024 itu adalah anjuran Polis Diraja Malaysia Kontinjen Sabah melibatkan lebih 150 buah motorsikal dari Kota Kinabalu menuju ke Sindumin dan bermalam di Sipitang, sebelum kembali ke ibu negeri pada Ahad.
Ia bersempena dengan Sambutan Hari Jadi Rasmi Ke-71 Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pada tahun ini. — JABATAN PENERANGAN SABAH