Cashier Wanita Dicabul Dalam Pasar Raya, Lelaki 57 Tahun Ditahan Polis di...

Cashier Wanita Dicabul Dalam Pasar Raya, Lelaki 57 Tahun Ditahan Polis di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Seorang cashier (juruwang) wanita berusia 20 tahun berdepan detik cemas apabila didakwa dicabul seorang lelaki tidak dikenali ketika sedang bekerja di sebuah pasar raya sekitar bandar ini, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.45 tengah hari ketika mangsa didatangi suspek yang berpura-pura bertanyakan lokasi barangan.

Menurutnya, suspek meminta mangsa menunjukkan lokasi tersebut sebelum wanita itu mengikutnya ke bahagian rak sabun.

“Ketika mangsa cuba beredar, suspek secara tiba-tiba menarik dan memeluk mangsa sambil mendakwa wanita itu adalah anak saudaranya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, suspek kemudian bertindak tidak senonoh dengan menyentuh beberapa bahagian tubuh mangsa, menyebabkan mangsa terkejut sebelum tampil membuat laporan polis.

Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan serbuan kira-kira jam 5.30 petang di sebuah rumah pekerja di Jalan Tanjung Batu Laut.

“Hasil serbuan, polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun yang disyaki terbabit dalam kes ini.

“Turut dirampas beberapa pakaian dipercayai digunakan semasa kejadian bagi membantu siasatan,” katanya.

Tambah beliau, semakan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan, dan suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada serta segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya berdepan sebarang kejadian jenayah.