Kursus Fertigasi, Hidroponik dan Penternakan Kambing Perkasa Belia Lumadan Jana Pendapatan Baharu

Kursus Fertigasi, Hidroponik dan Penternakan Kambing Perkasa Belia Lumadan Jana Pendapatan Baharu

0
SHARE

BEAUFORT: Seramai 48 peserta dalam kalangan belia dan komuniti setempat menyertai Kursus Asas Fertigasi, Hidroponik dan Penternakan Kambing yang dilihat mampu membuka peluang baharu dalam sektor pertanian moden serta penjanaan pendapatan di kawasan Lumadan.

Majlis penutupan kursus itu disempurnakan oleh Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Ruslan Muharam, yang turut menekankan kepentingan pendedahan awal kepada teknologi pertanian dan penternakan dalam kalangan masyarakat.

Menurut ADUN Lumadan itu, program anjuran Koperasi Belia Lumadan Beaufort Berhad dengan kerjasama Jabatan Pertanian Beaufort serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar Beaufort itu memberi manfaat besar kepada peserta dari segi ilmu dan kemahiran praktikal.

“Melalui kursus seperti ini, para peserta bukan sahaja mendapat ilmu asas, malah diberi peluang untuk memahami kaedah sebenar dalam bidang fertigasi, hidroponik dan penternakan kambing yang boleh dimanfaatkan secara praktikal,” katanya.

Kursus yang berlangsung di Dewan Terbuka Kolam Koperasi Bersatu Kampung Suasa itu merupakan antara inisiatif memperkasa komuniti setempat selaras dengan usaha kerajaan negeri menggalakkan pengeluaran makanan sendiri.

Ruslan turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur dan agensi terlibat atas komitmen dalam menyediakan bimbingan teknikal kepada peserta.

Beliau berkata, program seumpama itu juga menyokong agenda Kebun Dapur yang sedang digerakkan kerajaan bagi meningkatkan tahap sara diri rakyat.

“Usaha ini bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar, malah berpotensi menjimatkan perbelanjaan isi rumah serta membuka ruang kepada penjanaan pendapatan tambahan,” jelasnya.

Beliau berharap peserta dapat memanfaatkan ilmu yang diperoleh untuk memulakan atau mengembangkan usaha dalam bidang pertanian dan penternakan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi komuniti setempat.