
TAMBUNAN, SABAH – Ladang komersial seluas 20 ribu ekar antara usaha bagi meningkatkan hasil pertanian di daerah ini.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian Dan Perikanan, Datuk Seri Dr Jeffrey G. Kitingan berkata terdapat 39 sehingga 40 padang ragut di sekitar Tambunan dan sekiranya dikumpulkan, akan menjadi satu ladang besar yang akan dimanfaatkan untuk tumbuhan komersial.
“Sebagai permulaan, lapan padang ragut akan dijadikan lokasi penanaman kelapa dengan kerjasama Syarikat Malaysian Kuwaiti Investment Corporation (MKIC) Sdn Bhd bermula hujung tahun ini.
“Selain itu, kita juga telah mengenal pasti kawasan di Solibog yang menyediakan kemudahan-kemudahan Koperasi Pembangunan Desa dan sesuai untuk dijadikan pusat pengumpulan hasil pertanian yang pertama di Tambunan,” katanya ketika merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tambunan 2023 di Dewan Terbuka Pisompuruan.
Jeffry turut memaklumkan, bagi memperbaiki liputan internet di daerah berkenaan, Program Pilot Projek (TVWS) akan dilaksanakan.
“Kita akan membangunkan sistem baru akses internet yang disebut TVWS iaitu dengan mengisi ruang kosong yang disebut ruang putih (White Spaces) pada rangkaian televisyen dengan memasukkan akses internet.
“Program tersebut akan dibuat di kawasan yang akan dikenalpasti pada akhir tahun ini bertujuan mendapatkan liputan rangkaian internet di kawasan luar bandar khususnya sekolah-sekolah merangkumi 20 ke 30 km rangkaian akses liputan,” ujarnya.
Pada program tersebut juga, lima anugerah khas disampaikan kepada individu dan syarikat yang berjaya dalam aktiviti pertanian iaitu pengusaha hiliran halia, Henry Charles, pengusaha padi dan sayuran Norika Tajim serta pengusaha projek akuakultur air tawar, Nicholas Denis.
Tidak ketinggalan, pengusaha Community Based tourism (COBT), Oswald Iking, pengurusan Tagal Tradisi, Sylvester Dosis dan bagi kategori Independent Operator, Maxcimus Michael.
Turut hadir, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir, Pegawai Daerah Tambunan, Sobitun Makajil dan Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian Dan Perikanan, Robert Stidi. — JABATAN PENERANGAN SABAHÂ