Pertengkaran Adik Beradik Membawa Maut

Pertengkaran Adik Beradik Membawa Maut

0
SHARE

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki maut selepas dihentak adiknya dengan alat pemadam api ketika bertengkar mengenai pembahagian harta pusaka.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, adik mangsa, berusia 48 tahun dipercayai ke rumah abangnya, berusia 59 tahun, di Kampung Sama Gagah bagi membincangkan isu pembahagian harta pusaka.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata berlaku pertengkaran antara mereka dan suspek mengambil alat pemadam api lalu menghentak kepala mangsa.

“Orang awam yang mendengar suara pertengkaran keluarga berkenaan menghubungi polis. Polis menemui mangsa terbaring di luar rumah apabila tiba.

“Anggota polis menahan suspek dan pasukan perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan beliau.

Nik Ros berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.