KUALA LUMPUR: Selepas kejayaan penganjuran konsert di sini pada tahun lalu, penyanyi asal Indonesia ini, iaitu Kunto Aji kembali menghiburkan peminat di negara ini pada 28 Ogos depan, lapor Mstar.
Bukan sekadar pertunjukkan biasa, Kunto tampil dengan pendekatan baharu untuk bertemu peminat menerusi konsert Perjalanan Menawar Racun.
Istimewanya lagi, dia berhasrat berama mesra menerusi sesi curhat bersama peminatnya sehari sebelum persembahan berlangsung.
“Konsert kali ini bukan sekadar pertujulam biasa, saya nak cari peluang untuk bertemu secara langsung dengan peminat di Malaysia.
“Bukan secara meet and greet atau berfoto tetapi saya nak berbual dengan mereka peminat tentang kehidupan.
“Saya tak nak tekankan acara muzik sahaja tapi saya jadi sesi itu menjadi seperti sesi ‘luahan perasaan’,” katanya.
Masih tiada kata putus mengenai lokasi, namun Kunto memilih sesi pertemuan tersebut dibuat di kawasan terbuka sekitar Kuala Lumpur.
Apa yang lebih istimewa, penyanyi itu merancang bergerak ke lokasi tersebut dengan menaiki motorsikal.
“Sebelum konsert saya nak ajak peminat jalan-jalan dengan saya di sekitar Kuala Lumpur.
“Mungkin sesi bersama peminat saya akan buat di lokasi kawasan ‘outdoor’ supaya lebih ramai boleh sertai.
“Sepanjang di Kuala Lumpur, perjalanan saya untuk bertemu peminat ke lokasi terpilih dengan menaiki motorsikal,” jelasnya.
Konsert ini akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 28 Ogos 2024.
Tiket dijual pada harga serendah RM108 sehingga RM1,988 menerusi laman web Malam Galau.