KOTA KINABALU, SABAH – Tindakan segera akan diambil pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sabah bagi membaiki jalan yang terjejas kejadian tanah runtuh di beberapa buah daerah negeri ini ekoran hujan lebat yang berterusan sejak Khamis lepas.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kebanyakan jalan berturap yang runtuh dalam kejadian kelmarin adalah dibawah kendalian pihak konsesi yang dilantik kerajaan dan telah pun di arahkan untuk memperbaiki kerosakan dengan segera.
“Pihak kita (JKR) telah pun meminta pihak konsesi yang terlibat untuk memantau dan memperbaiki mana-mana jalanraya dibawah kendalian mereka selain membuat jalan alternatif agar pengguna jalan raya tidak terkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Menteri Kerja Raya itu, bagi jalanraya Kota Kinabalu ke Keningau CH 103 dan CH 107 ianya merupakan jalan persekutuan dibawah konsesi Lintasan Resources Sdn Bhd yang kini sedang diperbaiki dan sementara jalan alternatif juga turut disediakan kepada pengguna di laluan tersebut.

“Saya turut menerima aduan beberapa jalan raya di beberapa buah daerah mengalami kerosakan dan berlubang teruk…
“Pihak JKR juga telah meminta konsesi yang telah dilantik untuk melaksanakan kerja kerja pembaikan dengan segara,” kata Bung.
Beliau menambah bahawa terdapat juga aduan mengenai jalanraya yang dinaiki banjir, khususnya yang terlibat dengan pembinaan lebuh raya Pan Borneo.
Berkenaan hal ini, pihak kontrator pelaksana juga telah diarah agar memantau keadaan ini serta membersihkan parit yang sediada agar air tidak bertakung.
“Bagi cerun dan jalan yang runtuh di bawah penyeliaan JKR yang tidak melibatkan kos yang tinggi untuk pembaikan, kerja-kerja pembersihan sedang dilaksanakan,” tambahnya.

Dalam Bung telah meminta semua jurutera JKR di setiap daerah memantau situasi jalan yang berisiko untuk runtuh agar tahap keselematan pengguna terkawal ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu.
“Kementerian sentiasa cakna kepada isu-isu seperti ini dan akan mengambil tindakan susulan kepada setiap laporan yang dikemukakan,” katanya.
Bung juga meningatkan pengguna jalan raya agar berhati-hati semasa memandu ketika musim hujan dan banjir agar kejadian yang tidak diingini berlaku sebagaimana kejadian kenderaan dihanyutkan air deras di jambatan Jalan Kionsom Lama Inanam semalam.
“Jika banjir dan arus mengalir deras, saya nasihatkan pemandu agar jangan memaksa diri untuk meredah keadaan tersebut yang sudah pasti membahayakan keselematan diri,” tegasnya.





