KOTA KINABALU, SABAH – Bekalan beras di Sabah adalah mencukupi sementara kerajaan berusaha meningkatkan stokpail negara ditingkatkan 290,000 metrik tan menjelang tahun 2023 bagi menambah jamin keselamatan makanan.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, dalam satu lawatan pemeriksaan ke gudang simpanan beras Syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) di Telipok, sini berkata penambahan tersebut akan melibatkan kos RM 230 juta.
“Kos ini akan ditangangung sepenuhnya oleh pihak BERNAS selaras dengan terma Perjanjian Konsesi antara Kerajaan Malaysia…
“Menjelang akhir tahun ini, stokpail beras akan ditingkatkan kepada 200,000 metrik tan daripada 150,000 metrik tan yang ada sekarang,” katanya.
Perjanjian Konsesi yang ditandatangani pada bulan Disember 2020 yang lalu telah menetapkan 10 obligasi sosial kepada BERNAS yang akan dipantau serta dinilai setiap tahun oleh Kerajaan di 31 gudang stokpail beras di seluruh negara.
Salah satu obligasi sosial utama adalah untuk memelihara, menyelenggara dan mengurus stokpail beras negara dengan mematuhi kesemua garis panduan keselamatan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) sebagaimana ditetapkan oleh Kerajaan.
“Pihak Kementerian akan sentiasa menilai tahap stokpail beras negara dalam menampung sebarang keperluan atau permintaan luar jangka…
“Prestasi pengurusan dan penyimpanan stokpail beras negara yang dilaksanakan oleh BERNAS setakat ini telah memenuhi Indeks Pencapaian Prestasi (KPI) obligasi sosial yang ditetapkan oleh Kerajaan.
“Industri padi dan beras merupakan industri penting yang menghasilkan makanan ruji utama rakyat Malaysia dan keperluan tahunan beras bagi rakyat Malaysia adalah sebanyak 2.5 juta tan metrik manakala pengeluaran beras negara adalah sekitar 70% daripada keperluan tersebut,” jelasnya.
Ronald berkata oleh itu, negara masih mengimport kira-kira 700,000 hingga 900,000 tan metrik beras setiap tahun bagi menampung kekurangan pengeluaran beras dalam negara dan memenuhi permintaan terhadap beras-beras premium dan istimewa.
“Kerajaan telah meletakkan aktiviti pertanian termasuk aktiviti penanaman padi sebagai perkhidmatan perlu (essential services) bagi memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi dan dapat diperolehi oleh rakyat sepanjang masa…
“Kerajaan juga akan terus memastikan operasi industri padi dan beras serta rantaiannya sentiasa lancar dalam menjamin kelangsungan bekalan makanan ruji negara serta menjamin kecukupan stok beras negara,” katanya.
Tambahnya, Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) yang akan dilancarkan tidak lama lagi merangkumi beberapa strategi utama untuk merealisasikan hala tuju baharu dalam memartabatkan industri padi dan beras negara di samping meningkatkan pendapatan pesawah.
Matlamat utama DAN 2.0 adalah untuk meningkatkan tahap sara diri (SSL) beras ke tahap 80% dalam tempoh pelaksanaan DAN 2.0 dari tahun 2021-2030.
Lawatan itu turut disertai oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr. Jeffrey G. Kitingan merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah serta Encik Azman Bin Mahmood, Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras, MAFI.