Anggota Bomba Wanita Kena Renjatan Elektrik Ketika Padam Kebakaran Rumah

Anggota Bomba Wanita Kena Renjatan Elektrik Ketika Padam Kebakaran Rumah

0
SHARE
Bomba
Mangsa berehat di dalam ambulans EMRS JBPM ( Sumber Foto: Ihsan JBPM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Seorang anggota bomba wanita terkena renjatan elektrik ketika memadamkan kebakaran sebuah rumah dua tingkat di Kampung Keliangau 2 di Menggatal pada Rabu.

Mangsa, Samantha Echa Sigah, 36, dipercayai tersiram kabel elektrik yang terdedah dalam operasi pemadaman.

Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Lintas (JBPM) Agustavia Joe Guasi bagaimanapun melaporkan mangsa berada dalam keadaan stabil.

“Dia dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth II (QEH) menaiki ambulans EMRS JBPM untuk rawatan susulan,” katanya.

Katanya, panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu diterima pada pukul 10.05 pagi.

“Kebakaran membabitkan sebuah rumah dan sebuah bengkel persendirian. Tiga kenderaan terbakar iaitu sebuah pacuan empat roda dan Perodua Kancil yang musnah sepenuhnya manakala sebuah lagi pacuan empat roda musnah 50 peratus.

“Operasi pemadaman menggunakan sumber air yang diperoleh daripada jentera dan keadaan berjaya dikawal pada jam 10.44 pagi,” kata Agustavia.

Operasi turut dibantu oleh Balai Bomba Kota Kinabalu manakala pihak Polis dan Sabah Electricity Sdn Bhd turut berada di tempat kejadian.