Maritim Malaysia Tahan Tiga Bot Nelayan ‘Tarik Tepi’ Di Tawau

Maritim Malaysia Tahan Tiga Bot Nelayan ‘Tarik Tepi’ Di Tawau

0
SHARE
Maritim
Antara suspek yang ditahan Maritim Malaysia kerana memukat kurang dua batu nautika dari darat ( Sumber Foto: Ihsan Maritim Malaysia )

TAWAU, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MaritimMalaysia) Zon Maritim Tawau berjaya menahan tiga buah bot nelayan tempatan yang menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang dari dua batu nautika dari daratan dalam tiga tangkapan berasingan pada Selasa.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, terdahulu bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan Ops Khas Pagar Laut dan Ops Pluto Timur berjaya mengesan sebuah bot nelayan sedang menjalankan aktiviti menarik pukat berhampiran kawasan daratan di perairan Merotai.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tiga lelaki pemegang pasport warga Indonesia berumur di antara 29 hingga 39 tahun berada di atas bot tersebut dan didapati melakukan kesalahan menarik pukat pada jarak 1.5 batu nautika dari daratan,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Sementara itu di lokasi berasingan, dua lagi bot nelayan juga ditahan dan diperiksa oleh kapal peronda Maritim Malaysia yang menjalankan Ops Sejahtera dan Ops Khas Pagar Laut.

“Kedua-dua bot nelayan tersebut ditahan di sekitar 1.8 batu nautika tenggara Kampung Batu Payung pada pukul 2.55 petang hingga 3.15 petang.

“Pemeriksaan dokumentasi ke atas kedua-dua bot terbabit mendapati tujuh awak-awak lelaki pemegang pasport warga Indonesia berumur lingkungan 29 hingga 58 tahun disyaki melakukan kesalahan menjalankan aktiviti menarik pukat kurang dua batu nautika dari daratan.

“Ketiga-tiga juragan, bot serta muatan hasil laut tersebut seterusnya ditahan lalu dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau untuk disiasat di bawah Akta Perikanan 1985,” tambahnya.

Shahrizan berkata kesemua barangan termasuk bot nelayan, pukat dan muatan hasil laut disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah hampir RM300,000.

Shahrizan dalam pada itu menjelaskan, pihaknya akan terus memberi perhatian kepada kes-kes melibatkan nelayan tempatan yang cuba melanggar syarat sah lesen dengan mengambil kesempatan menarik pukat kurang dari jarak yang dibenarkan.

Beliau turut mengharapkan kerjasama dari pengusaha bot nelayan dan komuniti maritim agar sentiasa mematuhi peraturan perikanan yang telah ditetapkan.