KOTA KINABALU: Kepimpinan Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah dan Pakatan Harapan Plus (GRS+PH Plus) mesti dibenarkan untuk meneruskan perbincangan berdasarkan rasa saling menghormati dan kata sepakat tanpa sebarang tekanan luar, kata Ahli Majlis Tertinggi Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Fredian Gan.
Gan menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian Setiausaha Agung Bersama GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, bahawa model Kerajaan Perpaduan Persekutuan tidak wajar dipaksakan ke atas Sabah, dan menyifatkan tindakan sedemikian sebagai bertentangan dengan semangat pembentukan Malaysia.
“Saya menyokong sepenuhnya pendirian Datuk Armizan. Seperti yang beliau nyatakan, memorandum persefahaman yang ditandatangani pada Disember 2022 antara lima gabungan politik hanya bertujuan untuk pembentukan Kerajaan Persekutuan,” kata Gan dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah bahawa pengaturan politik yang unik di Sabah wajar dihormati, sebagaimana autonomi serupa turut dihargai di Sarawak dan Johor.
“Penghormatan politik yang telah lama dinikmati Sarawak, dan kini turut dinikmati Sabah, menyumbang kepada kerangka demokrasi unik Malaysia.
“Memaksakan model Persekutuan ke atas Sabah mengabaikan prinsip rakan kongsi setara antara Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu, seperti yang termaktub dalam semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” ujarnya.
Gan turut memberi amaran bahawa pemaksaan formula perkongsian kuasa ala Persekutuan ke atas Sabah akan menuntuhkan kepercayaan asas yang menjadi tonggak kepada Kerajaan Negeri sedia ada.
Beliau turut merujuk kepada gerakan politik singkat yang digelar “Langkah Kinabalu” sebagai pencabulan kepercayaan itu, sambil menyatakan bahawa tindakan memberi ganjaran melalui perkongsian kuasa terhadap cubaan rampasan kuasa itu bakal mewujudkan kes contoh yang berbahaya.
“Kerajaan GRS – PH Plus Sabah terbina atas asas kepercayaan bersama. Sebarang cubaan mengganggu kestabilan ini, seperti Langkah Kinabalu, harus ditolak sekeras-kerasnya.
“Memaksa kerajaan perpaduan ala Persekutuan ke atas Sabah seolah-olah mengiktiraf dan memberi ganjaran terhadap pengkhianatan tersebut.
“Isu ini bukan sekadar berkaitan pengaturan politik. Ia berkait dengan mempertahankan nilai-nilai yang menentukan kedudukan Sabah dalam Persekutuan Malaysia,” tambahnya.