KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sabah telah menumpaskan kegiatan penyelewengan barang kawalan minyak diesel bersubsidi dalam satu serbuan di Kampung Biah, Keningau pada pagi kelmarin.
Hasil serbuan pada jam 7.45 pagi itu, pasukan serbuan telah menjumpai sebanyak 5,000 liter minyak diesel di dalam lori tanker dan tong drum yang dipercayai untuk dijual kepada pihak industri beserta alatalat yang disyaki digunakan untuk menyeleweng iaitu tiga (3) buah kenderaan lori beserta tong drum dan skid tank.
Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata rampas dianggarkan bernilai RM128,750…
“Seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai pekerja di lokasi tersebut sibuk memindahkan barang kawalan semasa serbuan dijalankan turut ditahan dan diambil keterangan bagi siasatan lanjut.
“Risikan telah dijalankan selama dua hari oleh KPDNHEP Sabah sebelum serbuan dijalankan…
“Berdasarkan keterangan awal, pekerja tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Sebagai tindakan lanjut, beliau berkata kes akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.
Siasatan juga akan dilakukan di bawah Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal.
Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.
“Kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan.
“KPDNHEP Sabah akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan di negeri Sabah agar tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan,” tambahnya.