Polis Tumpas Kegiatan Edar Dadah, Syabu Seberat Lebih 1KG Dirampas dan Lelaki...

Polis Tumpas Kegiatan Edar Dadah, Syabu Seberat Lebih 1KG Dirampas dan Lelaki Warga Asing Ditahan

0
SHARE

TAWAU: Tindakan pantas sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Tawau berjaya menumpaskan cubaan pengedaran dadah jenis syabu di sekitar kawasan jeti di Batu 3½, Jalan Apas pada petang Selasa.

Polis Tawau dalam satu kenyataan memaklumkan dalam satu serbuan di kawasan tersebut, seorang lelaki warga asing berusia 45 tahun berjaya diberkas bersama dadah seberat lebih 1 kilogram. 

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek ditahan pada jam 4.30 petang ketika berada dalam keadaan mencurigakan sambil memegang sebuah kotak dan cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis.

“Pemeriksaan ke atas kotak tersebut membawa kepada penemuan satu peket plastik berwarna putih yang disyaki mengandungi dadah jenis syabu seberat 1022.11 gram yang dianggarkan bernilai RM35,500,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Menurut beliau, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dan suspek akan direman bermula 30 April 2025 bagi membantu siasatan lanjut.

Pihak polis kini giat menjalankan risikan dan mengesan individu lain yang mungkin terlibat dalam sindiket pengedaran dadah ini.

ACP Jasmin turut menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam penyalahgunaan dan pengedaran dadah, serta akan terus memperhebat operasi bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di daerah ini.